Skip to main content

Sukan

Pemain badminton muda SG bakal harumkan nama negara dalam acara perseorangan Sukan SEA ke-32

Anggaran Waktu Membaca:
Pemain badminton muda SG bakal harumkan nama negara dalam acara perseorangan Sukan SEA ke-32

Loh Kean Yew (kiri) dan Yeo Jia Min (kanan) adalah antara pemain badminton berpengalaman yang akan mengambil bahagian dalam acara berpasukan pada Sukan SEA yang akan datang. (Gambar: SportSg/Weixiang Lim)

SINGAPURA: Pemain badminton muda Singapura membawa harapan negara dalam acara perseorangan Sukan SEA yang bakal berlangsung tidak lama lagi, dengan anggota pasukan yang lebih berpengalaman tidak hadir dalam temasya sukan itu.

Pemain terbaik negara, termasuk juara dunia badminton pertama Singapura Loh Kean Yew dan pemain junior terbaik negara Yeo Jia Min, akan hanya mengambil bahagian dalam acara berpasukan kali ini.

Mereka kemudian akan meninggalkan Sukan tersebut, untuk beraksi di Kejohanan Piala Sudirman anjuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Suzhou, China, yang bermula pada 14 Mei.

Sukan SEA diadakan di Kemboja dari 5 Mei sehingga 17 Mei.

Sungguhpun begitu, atlit-atlit muda negara tidak gentar menghadapi cabaran tersebut, dan malah siap untuk mencatat prestasi memberangsangkan di termasya tersebut.

BAKAT DALAM PASUKAN

Persatuan Badminton Singapura, badan pentabir sukan tersebut, menyatakan pertembungan jadual sedemikian merupakan isyarat yang baik.

Ia menunjukkan bahawa pasukan tersebut kini layak untuk beraksi bagi acara-acara utama, dengan mempunyai cukup bakat untuk menghantar pemain lain bagi pertandingan lain, kata pengarah teknikalnya Martin Andrew kepada Mediacorp.

Antara pemain muda yang bakal membuat penampilan dalam Sukan kali ini termasuk Nur Insyirah Khan, yang berusia 21 tahun.

Namanya tidak asing lagi dalam Sukan SEA, memandangkan dia sudah mengambil bahagian dalam tiga edisi sebelumnya.

Namun, bagi Sukan yang akan datang, Nur Insyirah bakal membuat penampilan sulung dalam acara keseorangan berbanding acara berpasukan wanita sebelum ini.
Nur Insyirah Khan (kiri) dan rakan sepasukannya Bernice Lim Zhi Hui (kanan) merangkul pingat gangsa bagi acara regu wanita pada Sukan SEA sebelum ini di Vietnam. (Gambar: AP Photo/Achmad Ibrahim)
"Ia adalah pertama kali (bagi saya) dan saya akan (tampil) dengan semnagat 'Saya tidak akan hilang apa-apa'. Jadi bagaimana sekalipun, saya akan terus berjuang," ujarnya kepada Mediacorp.

Nur Insyirah menduduki tangga ke-76 dalam ranking dunia, iaitu pemain perseorangan wanita dengan ranking kedua tertinggi di Singapura.

Bagi Joel Koh, yang telah mewakili negara dalam Sukan Olimpik Belia pada 2018, pertandingan di Kemboja nanti merupakan penampilan keduanya dalam acara perseorangan di Sukan SEA.

"Pastinya, terdapat tekanan tetapi saya hanya menganggapnya sebagai peluang untuk menyahut cabaran tersebut," katanya kepada Mediacorp.

PERSIAPAN JELANG OLIMPIK

Encik Andrew memberitahu Mediacorp bahawa proses kelayakan bagi Sukan Olimpik tahun depan akan bermula pada Mei, dan berlanjutan selama 12 bulan.

Persatuan tersebut memutuskan untuk mengutamakan Kejohanan Piala Sudirman sebagai salah satu kejohanan bagi proses kelayakan untuk Olimpik.

"Oleh itu, kami perlu mengambil setiap peluang supaya pemain kami yang berada dalam laluan ke arah Olimpik untuk memaksimumkan mata ranking dunia mereka semasa tempoh 12 bulan itu", tekannya.

Encik Andrew juga menambah bahawa kumpulan pemain muda tersebut terdiri daripada mereka yang telah dikenal pasti untuk mengharumkan nama negara bagi pertandingan utama akan datang, seperti Sukan Olimpik 2028 dan 2032, serta Sukan SEA 2029, yang bakal diadakan di Singapura.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita