Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Pelumba F1 Hamilton dedah sudah lama bergelut dengan kemurungan

Anggaran Waktu Membaca:
Pelumba F1 Hamilton dedah sudah lama bergelut dengan kemurungan

Pelumba Formula One Lewis Hamilton. (Gambar: MOHD RASFAN/AFP)

LONDON: Juara Formula One sebanyak tujuh kali, Lewis Hamilton bertarung dengan kemurungan selama bertahun-tahun sejak kecil ketika dia menangani tekanan untuk meneruskan kerjaya dalam perlumbaan permotoran dan berdepan masalah buli di sekolah, kongsi beliau kepada The Times dalam satu wawancara.

Hamilton, 39 tahun, yang berlumba secara kompetitif sejak berusia enam tahun, berkata dia juga bergelut dengan kemurungan ketika dewasa, dan mendapati sukar untuk berkongsi tentang perjalanannya itu.

"Saya rasa ia disebabkan tekanan perlumbaan serta kesukaran yang dihadapi di sekolah. Kejadian dibuli. Saya tidak mempunyai sesiapa untuk mengadu," kata Hamilton dalam temu bual yang diterbitkan pada Sabtu (28 Sep).

"Saya bergelut dengan kesihatan mental sepanjang hidup saya, kemurungan dari usia yang sangat awal ketika saya, sekitar 13 tahun ... ketika saya berusia 20-an, saya mengalami beberapa fasa yang sangat sukar."

Hamilton membuat penampilan sulung Formula One pada tahun 2007 ketika berusia 21 tahun, menjadi pemandu berkulit hitam pertama dalam siri tersebut. Dia merangkul kejuaraan pada tahun berikutnya dan menandingi rekod tujuh kejuaraan Michael Schumacher pada 2020.

Warga Britain itu berkata dia berasa lebih matang dewasa ini berbanding pada tempoh awal kerjayanya.

"Anda sedang belajar tentang perkara yang telah diturunkan kepada anda daripada ibu bapa anda, melihat corak itu, bagaimana anda bertindak balas terhadap sesuatu, bagaimana anda boleh mengubahnya," katanya.

"Jadi apa yang mungkin menyebabkan saya marah pada masa lalu tidak menyebabkan saya marah hari ini. Saya lebih memahami."

Hamilton berkata dia mencuba bercuti untuk meningkatkan kesihatan mentalnya, dan walaupun berkongsi dengan ahli terapi bertahun-tahun lalu tidak membantu, dia mahu mencari seorang ahli terapi pada masa hadapan.

Pemandu Mercedes itu, yang bakal menyertai Ferrari tahun depan, berada di tempat keenam dalam kejuaraan tersebut, dengan perlumbaan seterusnya ditetapkan bagi Austin bulan depan.
Sumber : Reuters/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan