Pelumba basikal Elyas Yusof wakili S'pura dalam Kejohanan Trek Kebangsaan M'sia buat pertama kalinya
Penganjuran Kejohanan Trek Kebangsaan 2022 buat pertama kalinya akan disertai pelumba Singapura.
Pelumba basikal Singapura, Elyas Yusoff. (Gambar: Elyas Yusoff/Facebook)
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Abu Samah Abd Wahab berkata pihaknya menerima dan meluluskan permohonan Persatuan Berbasikal Singapura (SCA) untuk menyertai kejohanan itu yang akan berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan bermula esok (27 Mei).
Encik Abu Samah yang juga Presiden Persatuan Berbasikal ASEAN (ACA) berkata permohonan rasmi SCA dikemukakan oleh jurulatih kelahiran Selangor Rizal Tisin.
“Perkara ini dibincangkan secara serius oleh PKBM kerana ia kali pertama. PKBM menerima dan meluluskan permohonan SCA kerana ia boleh memberi dimensi dan cabaran baru kepada pelumba negara, secara tidak langsung akan wujud persaingan sihat,” katanya dalam kenyataan hari ini (26 Mei).
Berdasarkan borang pendaftaran diterima PKBM, SCA menyenaraikan seorang pelumba elit lelaki, Mohamed Elyas Mohamed Yusoff bagi acara keirin dan pecut individu.
Sementara itu, tanpa kelibat jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang, tumpuan kejohanan terbabit terarah kepada Mohd Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis.
Dua pelumba tersebut yang akan dipertaruhkan untuk memburu pingat pada temasya Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, pada Julai ini mengesahkan penyertaan dalam acara kegemaran mereka iaitu keirin dan pecut individu.
“Rasanya semua pihak khususnya (ketua jurulatih berbasikal trek negara) John Beasley sangat teruja untuk melihat prestasi semasa Shah Firdaus dan Fadhil. Mereka ialah calon pemenang pingat Sukan Komanwel 2022,” katanya.
Pelumba ternama Terengganu Cycling Team (TSG), Irwandie Lakasek turut mengesahkan penyertaan dalam empat acara iaitu madison, point race, scratch race dan omnium.
Baru-baru ini, peminat sukan tanah air dikejutkan apabila Mohd Azizulhasni mengumumkan beliau menjalani pembedahan jantung terbuka bagi kondisi jantung jarang jumpa dikenali AAORCA (anomalous aortic origin of right coronary artery) di Hospital Epworth Richmond, Melbourne.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.