Pelari pecut Somalia ini catat masa 21 saat bagi acara 100m; menteri mohon maaf
(Gambar: TikTok/EuroSport)
SOMALIA: Menteri Belia dan Sukan Somalia menggantung pengerusi Persekutuan Olahraga negara itu dan bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang.
Ini berikutan seorang pelari pecut wanita mengambil masa lebih 21 saat untuk sampai ke garisan penamat dalam acara 100 meter di World University Games.
Nasra Bukar Ali berada dalam barisan para atlit bagi acara larian 100 meter dalam pertandingan penuntut universiti itu di China, namun menamatkan acara tersebut di tempat terakhir, lebih 10 saat di belakang pemenang yang mencatat masa 11.58 saat.
Dalam video yang tular di media sosial, pelari pecut berusia 20 tahun yang tidak pernah dilatih itu tidak kelihatan di dalam rakaman sedang pelari lain melepasi garisan penamat.
Menteri Sukan Somalia Mohamed Barre Mohamud berkata siasatan sedang dijalankan bersama Jawatankuasa Olimpik Negara, yang mendedahkan bahawa Nasra bukan seorang ahli sukan ataupun pelari.
"Khadijo Aden Dahir, pengerusi Persatuan Olahraga Somali, bertindak menyalahgunakan kuasa, nepotisme dan memalukan nama negara dalam arena antarabangsa," kata menteri itu dalam satu kenyataan. Ia bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai dakwaan nepotisme tersebut.
Kementerian itu menambah bahawa siasatan juga mendedahkan bahawa tiada Persatuan Sukan Universiti Somalia yang berdaftar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.