Pelari pecut SG Shanti Pereira menang peringkat akhir 100m Kejohanan Terbuka Australia
Shanti Pereira sewaktu peringkat saringan acara 200 meter di Sukan SEA di Vietnam pada 14 Mei 2022. (Gambar: SportSG/Jeremy Lee)
SINGAPURA: Pelari pecut Singapura Shanti Pereira mencipta rekod baru negara, iaitu 11.37 saat, selepas meraih kemenangan di perlumbaan akhir acara 100 meter (m) wanita di Kejohanan Balapan dan Padang Terbuka Australia di Brisbane pada Sabtu (1 Apr).
Masa yang dicatatkan adalah 0.01 saat lebih pantas berbanding rekod negara yang dicatatnya sebelum ini dalam peringkat saringan pada Jumaat (31 Mac).
Shanti membawa pulang pingat emas, manakala Torrie Lewis (11.38 saat) dan Bree Masters (11.41 saat) dari Australia masing-masing menduduki tangga kedua dan ketiga.
Shanti sebelum itu mencatat masa 11.58 saat dalam peringkat separuh akhir pada awal Sabtu.
Keputusan Shanti pada Sabtu diraih kurang seminggu selepas beliau mencatatkan rekod baru negara (23.16 saat) dalam peringkat akhir acara 200 meter di Klasik Balapan Brisbane, di mana beliau menduduki tempat ketiga.
Atlit berusia 26 tahun itu berlatih secara sepenuh masa sejak Januari, setelah diumumkan November lalu bahawa beliau akan menyertai program Biasiswa Kecemerlangan Sukan, yang menyokong para atlit yang bakal beraksi dalam temasya sukan utama.
Shanti mencatatkan prestasi cemerlang pada 2022.
Beliau merangkul pingat emas dan mencipta rekod negara dalam acara 200 meter di Sukan SEA ke-31 di Vietnam, selain membawa pulang pingat perak dalam acara 100 meter. Shanti memecahkan rekod negara bagi acara 200 meter sekali lagi di Sukan Komanwel.
Antara pertandingan yang dijangka akan disertai Shanti tahun ini adalah Sukan SEA pada bulan Mei serta Kejohanan Olahraga Asia, Kejohanan Olahraga Sedunia dan Sukan Asia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.