Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Pelari pecut Olimpik warga Ecuador Alex Quinonez ditembak mati

Pelari pecut Olimpik dari Ecuador Alex Quinonez ditemui mati dengan kesan tembakan di bandar pelabuhan Guayaquil, mendorong pemerintah mengisytiharkan darurat seluruh negara dalam usaha menjejaki pembunuhnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelari pecut Olimpik warga Ecuador Alex Quinonez ditembak mati

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 24 Oct 2021 09:21PM Dikemas Kini : 24 Oct 2021 09:26PM

QUITO: Pelari pecut Olimpik dari Ecuador Alex Quinonez ditemui mati dengan kesan tembakan di bandar pelabuhan Guayaquil, mendorong pemerintah mengisytiharkan darurat seluruh negara dalam usaha menjejaki pembunuhnya.

Menurut polis, Quinonez, 32 tahun dan seorang lagi ditemui maut kira-kira pada tengah malam Jumaat lalu, waktu tempatan.

Sehubungan itu, Presiden Ecuador, Guillermo Lasso, berjanji untuk membawa pembunuhnya ke muka pengadilan.

"Mereka yang mengambil nyawa warga Ecuador tidak akan dibiarkan bebas. Kami akan bertindak dengan keras," kata Encik Lasso menerusi Twitter.

Gabenor wilayah Guayas, Pablo Arosemena, juga berjanji akan memburu pembunuh itu.

"Tidak seorang pun yang akan berehat sehingga Polis Ecuador menangkap pelakunya. Kami berdepan perang dalam menentang sindiket dadah yang mahu menundukkan kita," kata Encik Pablo menerusi Twitter dari Guayaquil.

Kementerian Sukan negara itu mengesahkan pembunuhan Quinonez di Twitter, sambil menzahirkan penghormatan terhadap 'pelari pecut terhebat' negara itu.

"Kami kehilangan seorang olahragawan hebat, seseorang yang membolehkan kita bercita-cita tinggi, menyentuh sanubari kita," kata kementerian itu.

Quinonez memegang rekod Ecuador bagi larian pecut 200 meter dengan catatan masa 19.87 saat.

Beliau adalah finalis di Olimpik London 2012, meraih tempat ketujuh dalam perlumbaan yang dimenangi Usain Bolt, iaitu pelari terpantas dunia.

Jawatankuasa Olimpik Ecuador (COE) berkata kematian Quinonez 'meninggalkan kesedihan mendalam' dan legasinya akan kekal sepanjang hayat.

Mayat pelari itu dibawa pulang ke kampung halamannya di Esmeraldas sementara acara memperingatinya dilakukan pada Ahad dengan keranda beliau dibawa ke stadium bola sepak, kata Kementerian Sukan.

Pembunuhan Quinonez berlaku ketika keganasan meningkat secara mendadak di Ecuador antara Januari dan Oktober tahun ini, di mana negara itu mencatat hampir 1,900 pembunuhan berbanding kira-kira 1,400 sepanjang 2020, menurut pemerintah.

Presiden Lasso, mengisytiharkan perintah darurat selama dua bulan di seluruh negara bermula esok dengan pasukan tentera dikerahkan meronda di jalan-jalan raya bagi menjejaki pembunuhnya.

Quinonez sedang melakukan persiapan untuk latihan di Amerika Syarikat dengan tujuan untuk kembali beraksi dan menyertai Kejohanan Olahraga Dunia di Oregon tahun depan.

Beliau tidak dapat bertanding di Olimpik Tokyo setelah dihalang Persekutuan Olahraga Antarabangsa kerana tidak melaporkan dengan betul keberadaannya untuk ujian anti-dadah di luar pertandingan. 

Sumber : AFP/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan