Pelari pecut Jamaica Fraser-Pryce intai Sukan Olimpik Paris 2024
Shelly-Ann Fraser-Pryce berkata dia masih "mampu mencatat prestasi cemerlang" pada usia 34 tahun.

Shelly Ann Fraser-Pryce. (Gambar: AFP)
REUTERS: Shelly-Ann Fraser-Pryce berkata dia masih "mampu mencatat prestasi cemerlang" pada usia 34 tahun.
Selepas dinobatkan sebagai pelari pecut 100 meter ketiga terbaik dalam sejarah pada Ogos lalu, warga Jamaica itu mendedahkan dia masih terbuka kepada peluang untuk bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024.
Fraser-Pryce, juara 100 meter di Sukan Olimpik Beijing dan London turut memenangi pingat emas dalam acara 4x100 meter dan gangsa bagi acara 100 meter di Sukan Olimpik Tokyo, iaitu pingat Olimpik kelapan sepanjang kerjayanya.
Juara bertahan itu juga mencatatkan masa peribadi terbaik 10.60 saat di perlumbaan Diamond League di Lausanne musim ini, masa ketiga terpantas dalam sejarah.
Dia sebelum ini menganggap tidak mampu bertanding di Sukan Olimpik Paris tetapi kini berkata bahawa dia masih ada banyak lagi ruang untuk memperbaiki prestasinya.
"Sebelum ini saya tidak meletakkan sasaran (Paris 2024), tetapi selepas musim ini dan kemajuan yang dicatatkan, saya rasa masih ada lagi yang saya boleh lakukan," katanya kepada Sky Sports pada Rabu (27 Okt).
"Paris 2024, saya tentu sekali dapat melihatnya sebagai satu kemungkinan. Saya tentu sekali rasa bahawa 10.50 saat boleh dicapai."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.