Pelanggan StarHub tidak puas hati dengan siaran musim baru EPL

(Gambar: Justin Tallis/AFP)
SINGAPURA: Pelanggan StarHub pada Sabtu (6 Ogos) berkata mereka menghadapi masalah menonton permulaan musim Liga Perdana England (EPL) hujung minggu ini dengan ramai membuat aduan mengenai mutu khidmat tersebut.
Peminat bola sepak yang marah meluahkan perasaan mereka di media sosial, dengan berkata terdapat isu seperti kelengahan siaran, skrin tidak bergerak serta video dan audio yang bermutu rendah.
Sesetengah pelanggan juga berkata mereka tidak dapat log masuk aplikasi StarHub TV+.
Starhub memegang hak penyiaran EPL di Singapura. Sebelum ini, hak penyiaran dipegang pesaing StarHub, Singtel selama 12 tahun berturut-turut.
"Permulaan yang teruk bagi Liga Perdana oleh StarHub," kata seorang pengguna Twitter, archit singh.
"Pindah dari Singtel ke Starhub yang amat menghampakan. Tidak dapat menonton seminit pun perlawanan dan sudah 45 minit berlalu."
Seorang peminat bola sepak juga berkata: "Siarannya seolah-olah saluran cetak rompak dengan skrin hitam muncul dua kali dalam separuh kedua Fulham Liverpool."
Di akaun Facebook StarHub, beberapa pelanggan turut berkata mereka menghadapi masalah untuk mendapatkan bantuan wakil telko itu. "Saya tidak boleh menonton siarannya, tiada maklumat yang sedia ada. Saya hubungi hotline pun tiada orang yang melayan saya," luah seorang pengguna Facebook.
Pelanggan lain pula menghubungi StarHub untuk meminta bayaran balik langganan mereka.
"StarHub, tolong huraikan masalah ini. Anda mempunyai berbulan-bulan untuk menjalankan ujian untuk memastikan semuanya berjalan lancar! Ia tidak dapat dimuat turun... Beri bayaran balik kepada pelanggan dan huraikan perkara ini," ujar seorang lagi pengguna Facebook, Duncan Tan.
Isu penyiaran itu dipercayai menjejas pengguna di merata Singapura, di lokasi seperti Queenstown, East Coast, Loyang dan Punggol.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, Starhub menyatakan: "Kami sedia maklum kesulitan yang dihadapi sebilangan pelanggan TV+ kami untuk menonton siaran perlawanan antara Liverpool dan Fulham. Kami memohon maaf atas kesulitan ini dan sedang bekerja keras untuk menghuraikan isu-isu ini dengan pantas. Khidmat IPTV tidak terjejas."
Starhub mengumumkan pada Februari bahawa ia mendapat hak untuk menyiarkan EPL di Singapura selama enam tahun, bermula dengan musim 2022-2023.
Selepas mengumumkan pelan harga bagi pakej EPLnya, telko berkenaan menerima sambutan luar biasa bagi harga langganan awal untuk khidmat Premier+. Respons itu mendorong Starhub untuk melanjutkan promosi tersebut buat kali kedua.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.