Pegawai Sukan Asia stabil selepas terkena lontaran tukul besi atlit
HANGZHOU, China: Seorang pegawai cabang atletik di Sukan Asia mengalami patah kaki dan pendarahan serius selepas terkena tukul besi yang tersasar. Menurut jurucakap Sukan itu pada Ahad (1 Okt), keadaan pegawai tersebut kini stabil.
Peristiwa itu berlaku pada Sabtu (30 Sep) sebelum pukul 8.00 malam (1200GMT). Atlit baling tukul besi dari Kuwait, Ali Zankawi sedang siap melakukan lontaran dalam perlawanan akhir tukul besi lelaki di stadium Olimpik di bandar timur China itu. Namun, lontaran itu tidak ke kawasan yang ditentukan, dan sebaliknya tersasar ke bahagian kanan, mengena kaki seorang pegawai teknikal yang sedang duduk di situ.
Kaki pegawai yang dikenal pasti sebagai Huang Qinhua, 62 tahun, langsung mengeluarkan darah dengan banyaknya dan dia kelihatan seakan akan pitam.
Zankawi menghampirinya untuk memberi pertolongan dan kemudian menekan paha Huang bagi menghentikan pendarahan.
Kakitangan perubatan segera membawa Huang ke hospital berdekatan.
"Dia tiba di hospital pada pukul 8.15 malam, di mana dia didiagnosis menderita patah tulang tibiofibulur kanan," kata jurucakap Sukan Xu Deqing pada sidang media pada Ahad.
"Buat masa ini tanda-tanda vitalnya stabil."
Perlawanan akhir itu dimenangi atlit dari China, Wang Qi.
Zankawi pula menamatkan saingan di tempat kelapan tetapi masih mencatatkan rekod terbaik musim ini dengan lontaran jarak 67.57 meter. Dia melakukan lontaran itu pada pusingan kedua sebelum terjadi kemalangan tersebut.
Berat bola logam yang menimpa Huang ialah 7.26 kilogram. Jaring yang ada di sekeliling atlit hanya mampu menampung kesan impak daripada tukul itu, bukan menghalangnya.
Jaring yang dipasang dalam acara atletik direka bentuk untuk digantung secara agak longgar untuk mengelakkan bola tukul dan cakera daripada melantun semula ke arah atlit.
Ramai pengguna platform media sosial China Weibo, di mana insiden itu menjadi trend pada Ahad, berkata protokol keselamatan harus dipertingkatkan untuk memberi perlindungan yang lebih baik kepada pegawai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.