Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Pegawai S’pura bakal dipilih terajui Akademi Sepak Takraw Doha bagi Sukan Asia 2030

Sebuah akademi sepak takraw bertaraf antarabangsa yang bakal diterajui oleh seorang pegawai dari Singapura akan ditubuhkan di Doha, Qatar pada awal tahun depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai S’pura bakal dipilih terajui Akademi Sepak Takraw Doha bagi Sukan Asia 2030

S'pura berentap dengan Indonesia dalam salah satu perlawanan sepak takraw di Sukan SEA 2015. (Gambar: Mohd Fyrol/AFP)

BERITAmediacorp: Sebuah akademi sepak takraw bertaraf antarabangsa yang bakal diterajui oleh seorang pegawai dari Singapura akan ditubuhkan di Doha, Qatar pada awal tahun depan.

Ini seiring dengan pemilihan bandar itu sebagai tuan rumah Sukan Asia 2030 baru-baru ini.

Presiden Majlis Olimpik Asia Ahmad Al Fahad Al Sabah mengumumkan Doha sebagai tuan rumah Sukan Asia edisi ke-21 pada 16 Disember 2020. (Gambar: Haitham Al Shukairi/AFP)

Presiden Majlis Olimpik Asia Ahmad Al-Fahad Al-Sabah mengumumkan Doha sebagai tuan rumah Sukan Asia edisi ke-21 pada 16 Disember 2020. (Gambar: Haitham Al Shukairi/AFP)

Perkembangan yang membanggakan ini didedahkan oleh Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) merangkap Setiausaha Agung Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) Abdul Halim Kader secara eksklusif kepada BERITAmediacorp siang tadi (22 Dis).

“Dalam masa terdekat, saya akan mengenal pasti seorang pegawai kanan ASTAF/ISTAF dari Singapura untuk menjadi pengarah akademi itu. Saya juga akan membawa bersama jurulatih-jurulatih terbaik dari Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand dan Oman,” dedah beliau.

Sasaran akademi yang disokong sepenuhnya oleh Jawatankuasa Olimpik Qatar (QOC) itu adalah para pelajar dan belia yang berusia bawah 21 tahun.

Matlamatnya adalah untuk menarik minat golongan muda dari Timur Tengah untuk lebih melibatkan diri dan menyemarakkan lagi sambutan terhadap temasya sukan berprestij itu.

Abdul Halim Kader berharap dapat bertemu dengan Duta Arab Saudi di Singapura dalam masa terdekat untuk berbincang tentang penyertaan sepak takraw dalam Sukan Asia 2030. (Gambar ihsan: Abdul Halim Kader)

Encik Abdul Halim mengalu-alukan penyertaan golongan belia untuk mewujudkan ekosistem sukan sepak takraw di Timur Tengah. (Gambar ihsan: Abdul Halim Kader)

ALU-ALUKAN KERJASAMA

Encik Abdul Halim dan para pegawainya tidak asing lagi dalam dunia sepak takraw antarabangsa termasuk di rantau tersebut dengan sukan itu sudahpun diperkenalkan di beberapa negara seperti Arab Saudi, Oman, Iraq, Bahrain dan juga Afghanistan.

Malah, ketika Doha menganjurkan edisi ke-15 Sukan Asia pada 2006, 40 anggota ASTAF yang paling ramai diwakili oleh rombongan dari Singapura, menjadi tunggak di sebalik penganjuran acara sepak takraw yang berlangsung selama 12 hari itu.

Barisan belakang (dua dari kiri): Sharinah Shariff, Amirah Mohd Ismail, Muhammad Fariq antara 10 pegawai dari Singapura yang menjayakan Sukan Asia Doha 2006. Barisan hadapan (satu dari kiri): Abdul Halim Kader, Col. Ruj Sarng Udom, Tirowoli, Yukrus, Misawa dan Muhd Taufiq. (Gambar ihsan: Abdul Halim Kader)

Maka itu, tidak hairanlah jika persekutuan yang berpangkalan di Singapura itu diundang oleh Presiden QOC Joaan Hamad Al-Thani untuk sekali lagi menjayakan pertandingan tersebut.

Kali ini, sebanyak enam acara berpingat – regu, pasukan dan gelung – lelaki dan wanita diusulkan untuk gelanggang Kompleks Sukan Al Gharrafa bagi tempoh selama 14 hari pula, menurut surat yang dikirim QOC kepada ASTAF pada 11 November lalu.

Gambar ihsan: Abdul Halim Kader

Sejak itu, kedua-dua pihak saling berbalas-balas surat dengan Encik Abdul Halim selaku Presiden ASTAF yang mengucapkan tahniah kepada pihak tuan rumah dalam warkah terbarunya pada 18 Disember.

“Kejayaan ini membuktikan kepercayaan Majlis Olimpik Asia (OCA) dan seluruh Asia terhadap negara anda. Sememangnya Sukan Asia 2006 yang anda anjurkan meninggalkan kesan mendalam yang tersemat dalam sanubari warga Asia," menurut Encik Abdul Halim.

Sheikh Joaan Hamad Al Thani merupakan duta acara berganti-ganti obor Sukan Asia Doha 2006 di Qatar. (Gambar: Karim Jaafar/AFP)

Sheikh Joaan Hamad Al-Thani merupakan salah seorang duta obor Sukan Asia Doha 2006 di Qatar. (Gambar: Karim Jaafar/AFP)

“Sekali lagi, pasukan saya daripada ASTAF akan bekerja dengan teliti untuk memberi sokongan sebaik mungkin demi meneruskan kisah kejayaan Doha, Qatar,” tambah beliau.

Mengalu-alukan kerjasama pihak QOC, Encik Abdul Halim turut menawarkan dirinya sebagai penasihat sukan sepak takraw negara itu selain berusaha menubuhkan Persatuan Sepak Takraw Qatar kelak.

Beliau juga memberitahu BERITAmediacorp bahawa beliau dijangka akan menghadiri mesyuarat bersama dengan para pegawai kanan di Doha pada Jun tahun depan. 

Pemain Malaysia Abd Ghani Futra membalas percubaan pesaing Thailand di peringkat akhir acara sepak takraw di Sukan Asia Doha 2006. (Gambar: Khaled Desouki/AFP)

Pemain Malaysia Abd Ghani Futra membalas percubaan pesaing Thailand di peringkat akhir acara sepak takraw di Sukan Asia Doha 2006. (Gambar: Khaled Desouki/AFP)

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan