Pasukan SPL tidak sabar beraksi kembali di padang
Liga Perdana Singapura (SPL) disambung semula pada Sabtu (17 Okt) selepas hampir tujuh bulan digantung dek pandemik COVID-19.
BERITAmediacorp: Liga Perdana Singapura (SPL) disambung semula pada Sabtu (17 Okt) selepas hampir tujuh bulan digantung dek pandemik COVID-19.
Pelbagai penyesuaian dilaksanakan agar Liga dapat berakhir menjelang hujung tahun ini.
Di sebalik langkah-langkah kawalan lebih ketat dan bermain tanpa kehadiran penonton di padang, para pemain dan jurulatih pasukan SPL, tidak sabar untuk kembali beraksi di tengah-tengah COVID-19.
BALESTIER KHALSA FC SASAR TANGGA KETIGA TERATAS LIGA
Semangat pemain pasukan Balestier Khalsa FC berkobar-kobar menantikan saat untuk kembali beraksi di padang.
Naib Kapten, Fadli Kamis berkata: "Saya rasa gembira dan tak sabar nak mulakan musim sebab sudah lama sekitar tujuh bulan, kita tidak main. Saya pun sudah bekerja keras."
Perasaan itu turut dikongsi pemain pertahanan, Aiman Zavyan: "Rasa seronok sebab sudah lama tidak dapat bermain perlawanan, jadi sangat ghairah untuk mulakan musim Liga dan perlawanan lawan pasukan lain."
Menjalani latihan sepenuhnya setiap hari sejak bulan September, mereka yakin dapat kembali dengan rentak kemenangan.
Malah Balestier Khalsa FC yang mengakhiri musim lepas di tangga terbawah Liga, menetapkan sasaran tinggi bagi musim kali ini.
"Saya harap kita boleh buat yang terbaik dan sasarkan untuk tangga ketiga teratas untuk kita main dalam pertandingan AFC tahun depan," kata Fadli.
BARISAN PEMAIN YOUNG LIONS DIKUKUHKAN; REBUT PELUANG RAIH KEMENANGAN PERTAMA
Keghairan yang sama turut dikongsi pasukan-pasukan lain seperti Young Lions.
Ketika musim Liga ditangguhkan, anak buah Nazri Nasir mengambil peluang untuk memperkuatkan lagi barisan pemain.
Antaranya, dengan membawa masuk pemain tengah, Zamani Zamri dari Albirex Niigata.
"Saya sebenarnya bersemangat sebab kedatangan ke pasukan ini, saya rasa saya boleh tolong dalam aspek agresif, semangat dan hati besar dalam pasukan ini," kata Zamani.
"Untuk pasukan saya, saya nak menang dan untuk diri saya, untuk beri persembahan konsisten dan menolong pasukan dengan sebaik mungkin," tambahnya lagi.
Menariknya lagi, Zamani bersama pasukannya akan menentang pasukan Albirex Niigata pada perlawanan pertama selepas Liga disambung semula.
Berkenaan perasaannya akan bertempur dengan pasukan lamanya, Zamani berkata: "Sebenarnya ini adalah perlawanan yang saya nantikan dan satu motivasi untuk memberi prestasi terbaik. Kawan tetap kawan, perlawanan tetap perlawanan."
PERUBAHAN PADA LIGA MUSIM KE-25 INI
Liga kali ini, menurut jurulatih Young Lions mengalami ‘perubahan unik’.
"Kalau cakap pasal permainan, mungkin banyak yang akan berubah, sebab kita pun tidak ada perlawanan persahabatan, selalunya kita ada tetapi sekarang tidak ada. Tahap permainan mungkin akan nampak kurang," ujar Nazri Nasir.
Mentelah lagi, pada musim-musim sebelumnya, setiap pasukan bermain tiga pusingan perlawanan menentang pasukan-pasukan lain.
Namun, ia akan dikurangkan kepada dua kali sahaja pada musim kali ini.
Tambahan lagi, dengan ketidakpastian sama ada pasukan Brunei DPMM akan terus beraksi dalam Liga dek sekatan COVID-19, setiap pasukan menghadapi kemungkinan bermain hanya 14 daripada 24 perlawanan yang dijadualkan.
Empat perlawanan berlangsung pada hujung minggu, namun tanpa penonton di stadium.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.