Skip to main content

Sukan

Pasukan renang S'pura ‘lebihi jangkaan' di Sukan Asia

Pasukan renang Singapura menamatkan perjuangan Sukan Asia 2018 mereka pada Jumaat (24 Ogos) dengan membawa pulang enam pingat - dua emas, satu perak dan tiga gangsa.

Anggaran Waktu Membaca:
Pasukan renang S'pura ‘lebihi jangkaan' di Sukan Asia

Pasukan Singapura. (Gambar: Sport Singapore)

Diterbitkan : 25 Aug 2018 08:56AM Dikemas Kini : 25 Aug 2018 09:02AM

JAKARTA: Pasukan renang Singapura menamatkan perjuangan Sukan Asia 2018 mereka pada Jumaat (24 Ogos) dengan membawa pulang enam pingat - dua emas, satu perak dan tiga gangsa.

Prestasi mereka selama lima hari dalam pertandingan renang di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno di Jakarta disanjung oleh ketua jurulatih Pusat Latihan Negara (NTC), Gary Tan dan ketua jurulatih negara Encik Stephan Widmer.

Bercakap kepada para wartawan pada Jumaat malam (24 Ogos), Encik Tan berkata: "Kami sudah pastinya melebihi jangkaan kami. Kami mengharapkan Jo untuk melakukan yang terbaik tetapi bukan saja Jo yang menunjukan persembahan yang baik.

Juara Olimpik Joseph Schooling menerajui pertandingan tersebut dengan merangkul empat pingat. Ini berbanding tiga yang dimenanginya dalam edisi Sukan Asia Incheon pada tahun 2014.

Schooling memenangi pingat emas di kedua-dua acara renang gaya kupu-kupu 50m dan 100m, dan membantu menambah pungutan pingat gangsa menerusi acara renang gaya bebas lelaki 4x100m dan 4x200m.

Sementara itu, Roanne Ho meraih pingat perak dalam acara 50m kuak dada wanita dan pasukan wanita bagi acara renang gaya bebas 4x100m meraih pingat gangsa.

Encik Widmer menekankan bahawa daripada 25 perenang Singapura yang bertanding dalam Sukan Asia kali ini, 13 pulang dengan sekurang-kurangnya satu pingat dalam genggaman.

TUJUH REKOD BARU NEGARA

Selain pingat-pingat tersebut, pasukan itu juga memecahkan tujuh rekod kebangsaan di Jakarta.

Ho, Quah Jing Wen, Glen Lim dan Gan Ching Hwee masing-masing mencatatkan rekod kebangsaan baru untuk acara 50m kuak dada, acara renang gaya kupu-kupu 200m, acara renang gaya bebas 800m dan acara renang gaya bebas 1,500m. Acara renang gaya bebas lelaki 4x100m dan acara gaya bebas lelaki 4x200m serta acara renang gaya bebas wanita 4x100m juga mencatatkan rekod baru bagi Singapura di Jakarta.

Bagaimanapun, Encik Widmer mengakui bahawa masih terdapat jurang antara perenang Singapura dengan perenang dari China dan Jepun. Kedua-dua negara menamatkan pertandingan renang masing-masing dengan 19 pingat emas.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita