Skip to main content

Sukan

Pasukan lumba basikal Israel-Premier Tech akan ubah identiti kerana tekanan

Anggaran Waktu Membaca:
Pasukan lumba basikal Israel-Premier Tech akan ubah identiti kerana tekanan

Pasukan berbasikal Israel-Premier Tech melepasi garisan penamat di peringkat 5 Vuelta a Espana di Sepanyol pada 27 Ogos 2025. (Gambar: Reuters/Bruna Casas)

BAITULMAKDIS: Pasukan berbasikal Israel-Premier Tech akan menjalani penjenamaan semula sepenuhnya bagi musim 2026.

Ia akan meninggalkan identiti Israel yang dipegang pasukan itu selepas lebih sedekad, menurut kenyataannya pada Isnin (6 Okt).

Pasukan berlesen Israel itu, yang ditubuhkan pada 2014 oleh Ron Baron dan Ran Margaliot, dan berpangkalan di Israel, menjadi sasaran siri bantahan atas pelibatan pasukan itu dalam perlumbaan antarabangsa.

Pada September, pasukan tersebut menyatakan ia sedang menyemak semula jenama mereka bagi musim akan datang, selepas beberapa penaja mendesak agar nama pasukan itu diubah.

"Dengan komitmen teguh kepada pelumba, kakitangan, dan rakan kongsi kami yang dihargai, keputusan telah dibuat untuk menamakan semula dan menjenamakan semula pasukan ini, dengan meninggalkan identiti Israel yang ada sekarang," menurut kenyataan rasmi pasukan itu.

"Dalam sukan, kemajuan sering memerlukan pengorbanan, dan langkah ini penting untuk menjamin masa depan pasukan."

Pasukan Israel-Premier Tech dikecualikan daripada perlumbaan Giro dell Emilia pada Sabtu atas faktor keselamatan awam, menyusuli gangguan meluas semasa perlumbaan Vuelta a España bulan lalu, apabila mereka menjadi sasaran tunjuk perasaan pro-Palestin yang membantah perang Israel di Gaza.

Bagi acara Vuelta, pasukan itu turut menanggalkan nama penuh mereka daripada jersi pelumba.

Pemilik pasukan, Sylvan Adams, juga akan berundur daripada pelibatan harian dan tidak lagi bertindak sebagai jurucakap pasukan, sebaliknya akan memberi tumpuan kepada peranannya sebagai Presiden Kongres Yahudi Sedunia (World Jewish Congress), Israel, menurut kenyataan pada Isnin.

Pihak pasukan menyatakan bahawa budaya dalamannya menjadi kunci dalam menangani cabaran sejak kebelakangan ini, dan pihak pengurusan berpendapat bahawa perubahan adalah perlu.

Butiran lanjut mengenai penjenamaan semula pasukan itu akan diumumkan tidak lama lagi.
Sumber : Reuters/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita