Skip to main content

Sukan

Pasukan lawan pedang 'foil' wanita SG kecundang di tangan China di peringkat suku akhir Sukan Asia

Anggaran Waktu Membaca:
Pasukan lawan pedang 'foil' wanita SG kecundang di tangan China di peringkat suku akhir Sukan Asia

Atlit sukan lawan pedang Amita Berthier beraksi di perlawanan suku akhir 'foil' berpasukan, untuk menentang atlit dari China Huang Qianqian di Sukan Asia di Hangzhou, China pada 28 Sep 2023. (Gambar fail: Singapore National Olympic Council/Kelly Wong)

Diterbitkan : 28 Sep 2023 05:16PM Dikemas Kini : 28 Sep 2023 05:17PM
HANGZHOU: Pasukan sukan lawan pedang wanita negara terlepas peluang meraih pingat bagi acara 'foil' di Sukan Asia kali ini.

Terdiri daripada Amita Berthier, Maxine Wong, Tay Yu Ling dan Cheung Kemei, pasukan Singapura kalah 37-45 di tangan pasukan China dalam peringkat suku akhir pada Khamis (28 Sep).

Lima tahun lalu, pasukan Singapura kalah 14-45 oleh pasukan dari China di peringkat separuh akhir Sukan Asia 2018, namun berjaya merangkul pingat gangsa bersama sebuah pasukan lain memandangkan tidak ada perlawanan bagi tempat ketiga dan keempat ketika itu.

"Kami tidak jauh ketinggalan, kami (memberi mereka persaingan yang sengit). Saya bangga dengan pencapaian kami setakat ini dan anda dapat lihat perbezaan yang ketara antara pasukan kami lima tahun lalu dan kini," kata Berthier, yang merupakan sebahagian daripada pasukan yang bersaing di Sukan Asia 2018 di Jakarta bersama Wong.

Bercakap kepada wartawan, Wong pula berkata dia menilai prestasi pasukannya lapan daripada markah penuh 10.

"Saya sangat bangga dengan prestasi kami keseluruhannya. Pada akhirnya, skor tersebut agak dekat bagi sebuah perlawanan berpasukan," ujarnya.

"Ia jelas menunjukkan bahawa kami menunjukkan peningkatan sebagai satu pasukan, dari segi strategi, kemahiran dan juga pengalaman setelah mengambil bahagian dalam beberapa Kejuaraan Dunia bersama-sama."

Singapura meletakkan sasaran untuk membawa pulang sekurang-kurangnya dua pingat bagi sukan lawan pedang di Sukan ini, iaitu seganda daripada pungutan pingat di edisi 2014 dan 2018.

Namun, kempen di sukan temasya edisi ini kelihatan agak mencabar bagi pasukan lawan pedang negara, memandangkan mereka masih belum lagi merangkul sebarang pingat sejauh ini.

Meskipun kecewa selepas terlepas peluang membawa pulang pingat di acara perseorangan dan berpasukan, Berthier kekal fokus terhadap sasarannya untuk melayakkan diri ke Olimpik Paris tahun depan.
"Bagi saya .... matlamatnya adalah untuk melayakkan diri ke Paris dan saya dalam landasan yang baik setakat ini," tambahnya.

Anda boleh ikuti liputan Sukan Asia ke-19 di Hangzhou secara langsung di 6 saluran khas meWatch.

Log masuk sekarang di www.mewatch.sg/asiangames untuk menonton semua aksi kejohanan itu secara percuma, atau ikuti sedutan acara-acara pertandingan di Mediacorp Entertainment di YouTube.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita