Pasukan F1 Cadillac, disokong General Motors, disahkan bagi 2026
Pasukan Cadillac yang disokong oleh General Motors (GM) bakal menjadi pasukan ke-11 dalam Formula Satu (F1), mulai tahun depan.

Pegawai Eksekutif F1, Encik Stefano Domenicali di Monaco pada 26 Mei 2024. (Gambar fail: REUTERS/Jennifer Lorenzini)
Pasukan tersebut mendapat kelulusan rasmi daripada pemegang hak komersial dan Persekutuan Sukan Bermotor Antarabangsa (FIA) pada Jumaat (7 Mac).
F1 dan FIA mengesahkan dalam satu kenyataan bersama bahawa penilaian sukan, teknikal, dan komersial yang diperlukan telah selesai.
Pihak-pihak berkaitan mencapai persetujuan secara prinsip pada November lalu selepas F1 menolak bidaan terdahulu di bawah nama Andretti, yang sebelum ini telah diluluskan oleh FIA.
"Seperti yang kami katakan pada November, komitmen General Motors untuk membawa pasukan Cadillac ke F1 adalah satu demonstrasi yang penting dan positif bagi evolusi sukan kita," kata Pegawai Eksekutif F1, Encik Stefano Domenicali.
"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada GM dan TWG Motorsport atas penglibatan membina mereka sepanjang tempoh berbulan-bulan dan berharap untuk menyambut pasukan itu di grid mulai 2026 untuk satu lagi tahun yang mendebarkan bagi F1."
Presiden FIA, Mohammed Ben Sulayem, pula mengatakan bahawa penambahan kepada 11 pasukan itu merupakan satu "detik perubahan" dan pencapaian yang penting bagi kejohanan tersebut.
"GM/Cadillac memberikan semangat baharu, selaras dengan peraturan baharu FIA 2026 dan memacu era baharu yang mendebarkan bagi sukan tersebut," tambah beliau.
"Kehadiaran pasukan F1 Cadillac di kawasan perlumbaan akan memberi inspirasi kepada para pesaing dan peminat."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.