Skip to main content

Sukan

Pasukan bola sepak lelaki SG, Soh Rui Yong dijangka bertanding dalam Sukan SEA 2025 selepas rayuan diluluskan

Anggaran Waktu Membaca:
Pasukan bola sepak lelaki SG, Soh Rui Yong dijangka bertanding dalam Sukan SEA 2025 selepas rayuan diluluskan

Pemain Singapura dan Malaysia dalam perlawanan bola sepak Sukan SEA pada 11 Mei 2023. (Gambar: Facebook/Persatuan Bolasepak Malaysia)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 29 Aug 2025 08:34AM
SINGAPURA: Pasukan bola sepak lelaki bawah 22 tahun Singapura dan pelari jarak jauh, Soh Rui Yong kini bersiap sedia untuk bertanding di Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) akhir tahun ini, berikutan kejayaan rayuan mereka kepada Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC).

Jawatankuasa Rayuan bermesyuarat pada Khamis (28 Ogos) untuk menimbangkan pencalonan tambahan yang dikemukakan oleh pelbagai persatuan sukan nasional (NSA).

Menurut senarai atlet yang dikemas kini, Soh dijangka akan bertanding dalam perlumbaan 10,000m dan 5,000m lelaki.

SNOC juga telah meluluskan namanya untuk maraton lelaki. Tetapi ini tertakluk kepada keputusan Singapore Athletics (SA), yang perlu memilih dua daripada lima atlet untuk senarai muktamad.

Soh pada mulanya tidak disertakan dalam senarai sementara Sukan SEA 2025, bersama-sama dengan pasukan bola sepak lelaki.

SNOC menyatakan pada awal bulan ini bahawa jawatankuasa pemilihan tidak menyokong pencalonan Soh, sambil menyatakan bahawa selain daripada penanda aras prestasi, ia juga mengutamakan keperluan untuk "menegakkan nilai dan tingkah laku yang diharapkan daripada wakil Singapura".

Pada Khamis (28 Ogos), jurucakap SNOC berkata: "Jawatankuasa berpuas hati dengan jaminan Singapore Athletics bahawa Encik Soh akan memikul tanggungjawabnya mewakili negara di temasya itu.

"Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada semua atlet dalam persiapan mereka untuk temasya itu."

Singapura akan menghantar kontinjen terbesarnya ke Sukan SEA.

Menyusuli semakan pada Khamis (28 Ogos), seramai 218 atlet daripada 29 sukan telah diluluskan untuk pemilihan.

"Mereka akan menyertai 762 atlet yang dipilih awal bulan ini, menjadikan jumlah atlet dalam kontinjen Singapura kepada 980 atlet merentasi 48 sukan - yang terbesar dalam sejarah Sukan SEA," dedah SNOC.

SNOC menambah bahawa kontinjen akhir akan disahkan dan diumumkan lebih dekat dengan tarikh temasya itu, selepas selesai proses penyertaan mengikut nama yang ditetapkan oleh penganjur Sukan SEA.

Sukan SEA ke-33 akan diadakan di Thailand dari 9 hingga 20 Disember.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita