Pasukan bola lisut wanita SG sasar pingat emas dalam Sukan SEA tahun ini
Di tengah-tengah panas terik, sekitar pukul 1:30 petang pada hari Ahad, sekumpulan wanita berumur 20an berlatih di padang di Jurong East – dan mereka adalah ahli pasukan bola lisut atau ‘softball’ wanita Singapura.

Pasukan bola lisut wanita Singapura bermatlamat besar tahun ini dan berharap untuk meraih pingat emas di Sukan SEA. (Gambar: Tay Suan Chiang)
Setiap seorang memakai jersi merah dengan perkataan "Singapore" yang tertera pada bahagian dada, seluar pendek hitam, stoking paras lutut dan kasut sukan, lengkap dengan cermin mata hitam, topi atau pelindung muka sebagai perlindungan daripada matahari.
Sesi latihan dimulakan dengan larian sekitar Jurong Softball Field. Mereka bermula dengan berlari-lari anak secara perlahan-lahan, sebelum mempercepatkan kelajuan berlari buat jarak pendek sebelum kembali berlari-lari anak.
Di bawah tempat berteduh, mereka melakukan latihan ketangkasan dan mobiliti, dan kemudian untuk beberapa jam seterusnya, mereka melakukan latihan lontaran, pukulan, pertahanan, larian pangkalan, bergelongsor dan mencuri pangkalan. Latihan berakhir pada pukul 6.00 petang.
Begitulah salah satu daripada tiga sesi latihan yang dijalani oleh pasukan bola lisut wanita Singapura setiap minggu. Pada Selasa dan Khamis malam pula, mereka menjalani sesi gim selama tiga jam di Hab Sukan Singapura.
Pasukan bola lisut wanita Singapura bermatlamat besar tahun ini dan berharap untuk meraih pingat emas di Sukan SEA.
Musim kejohanan semakin hampir, dan pasukan negara bakal meningkatkan kekerapan latihan bagi memastikan mereka bersedia sepenuhnya untuk bertanding.
Pasukan tersebut mempunyai dua sasaran utama tahun ini.
Pertama, untuk bertanding dalam Piala Asia Bola Lisut Wanita di Xian, China pada Julai, serta melayakkan diri ke Sukan SEA di Thailand pada Disember.
Acara bola lisut bukan acara tetap Sukan SEA dan kali terakhir ia dipertandingkan adalah pada 2019.
Pencapaian terbaik pasukan bola lisut wanita kebangsaan dalam Sukan SEA adalah pingat perak pada 2007 di Thailand.

Di Sukan Asia Hangzhou 2022, mereka menduduki tempat keenam, mengalahkan pesaing lama, Hong Kong, dan semakin dekat dengan Korea Selatan dalam ranking Asia. Mereka juga menamatkan pertandingan di tempat kelima di Kejohanan Bola Lisut Universiti Asia Wanita 2024.
BERMAIN BOLA LISUT SEJAK SEKOLAH RENDAH
Pasukan bola lisut wanita Singapura terdiri daripada 32 atlet yang aktif menjalani latihan, disokong oleh tiga jurulatih. Tujuh pemain juga merupakan individu yang bekerja secara profesional, manakala yang selebihnya adalah pelajar universiti.
Beberapa ahli pasukan memberitahu CNA Women bahawa mereka telah bermain softball sejak di bangku sekolah rendah atau menengah.
Guo Rundongni yang berusia 26 tahun mula bermain bola lisut sebagai satu aktiviti kokurikulum (CCA) di sekolah menengah. Editor video kanan itu berkata, "Saya memilih bola lisut kerana ia sangat berbeza daripada sukan lain, dan saya yang ketika itu berusia 13 tahun ingin mencuba sesuatu yang baru."
Shanice Lim, 24, pula telah bermain bola lisut sejak berusia 10 tahun. "Kakak saya juga bermain bola lisut di sekolah rendah waktu itu, dan ibu bapa saya mahu saya menyertai CCA yang sama supaya kami boleh dijemput pulang selepas sekolah bersama-sama," kata ahli dietetik tersebut.
Dan, bagi pelajar tahun akhir universiti, Charmaine Chua, 23, beliau tertarik dengan kelengkapan penangkap sukan bola lisut dan itu menimbulkan keinginannya untuk mencuba sukan tersebut semasa di sekolah rendah.
"Pelindung dada dan pelindung kaki membuatkan penangkap kelihatan seperti Transformer," katanya sambil bergurau. Kini, beliau merupakan penangkap pasukan negara.
Para wanita itu berkata bahawa keunikan sukan ini yang memberi inspirasi kepada mereka untuk menjadi cukup mahir demi melayakkan diri ke pasukan kebangsaan.
Mereka berkata bahawa mereka mahu bermain bersama dan belajar daripada yang terbaik. "Saya rasa ia adalah pencapaian yang besar apabila saya berjaya masuk ke pasukan kebangsaan dan dapat meneruskan sukan ini pada tahap tertinggi," kata Chua.

Bowie Tan, 23 tahun, juga seorang pelajar tahun akhir universiti, menambah: “Setiap perlawanan bola lisut tidak boleh dijangka. Terdapat banyak strategi yang dimainkan, serta isyarat tangan halus yang hanya diketahui oleh pasukan kami apabila kami mahu mencuri pangkalan. Kita sentiasa perlu berwaspada kerana apa-apa boleh berlaku.”
Untuk menjadi lebih baik dalam sukan ini, pasukan sering menonton klip video dalam talian mengenai pertandingan dan lawan mereka untuk mengenal pasti kelemahan mereka. Selepas setiap perlawanan, tanpa mengira sama ada menang atau kalah, mereka berkumpul dan membuat refleksi mengenai permainan untuk melihat bagaimana mereka boleh memperbaiki diri.
KECEDERAAN, PENGURUSAN MASA DAN KURANG PELUANG BERCUTI BERSAMA KELUARGA
Dengan sesi latihan yang berulang kali, kadang-kadang hingga enam kali seminggu, ditambah dengan pekerjaan sepenuh masa atau pengajian, para atlet berkata bahawa terlepas percutian atau perhimpunan keluarga adalah perkara biasa.
“Saya tidak pernah bercuti bersama keluarga sejak berusia 19 tahun,” kata kapten pasukan Tan. Walaupun sesi latihan membolehkan dia melupakan kerja, ia kadangkala membuatkan dia berasa letih secara fizikal, terutama apabila hari kerjanya bermula awal dan latihan berakhir lewat.
Para wanita itu mengatakan bahawa mereka telah juga mengalami beberapa bentuk kecederaan semasa bermain bola lisut. Guo mengalami tiga kecederaan dalam tempoh setahun, dan berkata, “Apabila ia berlaku, ia benar-benar mengganggu momentum dan saat itu kita benar-benar perlu mencari kekuatan untuk bangkit dan terus bekerja keras.”
Cacia Tan pernah menjalani pembedahan bahu dan lutut akibat kecederaan. “Kita hanya boleh salahkan diri sendiri atas kecederaan itu,” katanya. “Daripada bersedih, kami fokus untuk terus maju dan bersungguh-sungguh dengan proses pemulihan.”

Dia dan Chua menangguhkan peperiksaan A-Level mereka selama setahun supaya boleh menyertai Sukan SEA 2019. “Saya meyakinkan ibu bapa saya untuk membenarkan saya berbuat demikian, kerana ia akan mengambil masa enam tahun lagi sebelum bola lisut dimasukkan sekali lagi, dan saya mungkin boleh menyertai Sukan SEA yang lain,” katanya.
KEKAL DALAM BOLA LISUT KERANA MINAT
Para pemain yang ditemu bual oleh CNA Women semua mengatakan bahawa sukar untuk menjadikan bola lisut sebagai kerjaya di Singapura.
“Bermain bola lisut sebagai kerjaya adalah satu cabaran, disebabkan kekurangan pertandingan,” kata Lim, yang bermain di posisi luar padang.
Guo menambah: "Untuk bermain secara separa profesional seperti kami, ada pengorbanan yang perlu kami lakukan, dan juga sokongan daripada organisasi, komuniti, serta keluarga dan rakan-rakan kami."
Pasukan ini, di bawah Persatuan Besbol dan Bola Lisut Singapura, menerima sedikit pembiayaan dengan adanya bantuan daripada Sport Singapore.

Namun, setiap kemenangan memberi mereka semangat, seperti kemenangan penting ke atas Hong Kong di Sukan Asia 2022. Cacia Tan, yang melakukan pukulan pertama, mengungkap kembali: "Perlawanan itu disiarkan di TV, dan keluarga kami dapat menontonnya, yang menunjukkan bahawa segala usaha yang kami lakukan mendatangkan hasil."
Sukan SEA 2025 adalah pencapaian besar seterusnya untuk pasukan itu dan kesemua pemain wanita kumpulan tersebut menyatakan impian untuk meraih emas.
"Perjalanan dalam sukan bola lisut bukan tentang penghujungnya, tetapi juga prosesnya. Seperti yang pernah dikatakan oleh jurulatih saya, tidak ada hayunan yang sempurna. Jadi, saya rasa sentiasa berusaha untuk memiliki hayunan yang lebih baik daripada yang sebelumnya juga penting," kata Guo.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.