Paredes pertimbang masa depan bersama Argentina susuli arahan digantung 10 perlawanan
Pemain tengah Leandro Paredes berkata beliau mungkin sukar untuk terus beraksi bersama Argentina selepas dikenakan penggantungan 10 perlawanan kerana terbabit dalam pergaduhan menyusuli kekalahan kepada Sepanyol dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2026.
Pemain Argentina Leandro Paredes bertelagah dengan pemain Sepanyol Gavi selepas perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 di East Rutherford, New Jersey, Amerika Syarikat, pada 19 Jul 2026. (Gambar: Reuters/Amanda Perobelli)
Paredes, 32 tahun, berkata persaraan Lionel Messi daripada bola sepak antarabangsa turut menjadi faktor yang membuatnya mempertimbangkan masa depan bersama skuad kebangsaan.
Paredes dikenakan arahan digantung daripada beraksi pada Ogos, beberapa minggu selepas tercetus pertelingkahan sebaik wisel penamat perlawanan akhir Piala Dunia 2026 dibunyikan.
Insiden berlaku selepas Paredes menolak pemain tengah Sepanyol Gavi sehingga terjatuh ketika pemain simpanan Sepanyol itu bergegas masuk ke padang untuk meraikan kemenangan.
Paredes berdepan tiga tuduhan serangan, manakala rakan sepasukannya Nahuel Molina berdepan dua tuduhan serupa. Kedua-dua pemain turut didenda AS$90,000 (S$115,000).
"Adalah sukar bagi saya untuk kekal bersama skuad kebangsaan," kata Paredes kepada media Argentina pada Selasa (1 Sep).
"Penggantungan ini juga, keputusan Leo ... semuanya akan menyukarkan keadaan untuk diteruskan seperti sebelum ini.
"Saya belum membincangkannya dengan jurulatih (Lionel Scaloni), tetapi kami akan berbincang dan melihat keputusan yang akan saya buat," tambahnya.
KETIADAAN MESSI AKAN DIRASAI
Paredes berkata ketiadaan Messi daripada skuad kebangsaan akan sangat dirasai.
"Legasi Leo akan kekal selama-lamanya kerana apa yang dicapainya, kerana tidak pernah berputus asa dan menunjukkan bahawa impian memerlukan usaha keras, perlu dikejar dan akhirnya boleh dicapai," katanya.
Paredes berkata para pemain sudah berbincang pada hari-hari terakhir Piala Dunia bahawa perlawanan akhir menentang Sepanyol berkemungkinan menjadi perlawanan terakhir Messi bersama Argentina.
Namun, katanya, mereka masih belum bersedia menghadapi persaraan Messi kerana betapa pentingnya pemain itu kepada pasukan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.