Para pesilat negara rangkul 17 pingat di Kejuaraan Dunia
BERITAmediacorp: Prestasi yang menyerlah dan amat baik, meskipun ada sedikit kekurangan.
Demikian kata-kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persekutuan Silat Singapura (PERSISI), Sheik Alau'ddin Yacoob Marican tentang persembahan para pesilat negara yang beraksi di Kejuaraan Dunia Pencak Silat 2022 yang diadakan di Melaka, Malaysia baru-baru ini.
Secara keseluruhannya, para pendekar dan srikandi negara menggondol empat emas, lima perak dan lapan gangsa bagi edisi kejuaraan tahun ini.
4 EMAS, 5 PERAK, 8 GANGSA
Encik Alau'ddin melahirkan rasa bangga dengan para pesilat negara yang menunjukkan prestasi yang amat menyerlah.
Kejayaan para pesilat semasa kejuaraan tersebut juga dapat dilihat dari kedua-dua jurusan seni dan tanding.
"Persembahan dari seni, kita dapat dua emas. Walaupun yang lain ada rasa kecewa, Alhamdulillah ada juga sumbangan gangsa dan perak."
"Dari segi tanding, semua pesilat ingin menunjukkan mereka ingin menang. Saya berasa bersyukur mendapat 4 emas daripada lebih 20 orang atlit. Melihat daripada persembahan para atlit kita, saya rasa ini cukup baik, walaupun ada sedikit kekurangan, tetapi mengikut peratusan, lebih 90 peratus (meraih pingat) dan saya berasa bangga dan terus memberikan kita semangat untuk terus maju ke hadapan," jelas Encik Alau'ddin kepada BERITAmediacorp.
Pada edisi Kejuaraan Dunia Pencak Silat kali ini, Singapura berjaya meraih empat pingat emas menerusi dua acara seni dan dua acara tanding.
Para pemenang termasuk:
1) Pesilat seni tunggal negara Muhammad Iqbal Abdul Rahman
2) Pasukan regu wanita - Amirah Sahrin, Iffah Batrisya Noh dan Nur Ashikin Zulkifli
3) Pesilat tanding lelaki kelas 'B' - Aniq 'Asri Yazid
4) Pesilat tanding lelaki kelas 'J' - Sheikh Farhan Sheikh Alau'ddin
Kejayaan yang dikecapi para pesilat negara juga menepati jangkaan yang diberikan untuk setiap daripada mereka.
Encik Alau'ddin berkata: "Semua pesilat yang kita hantar, kita harapkan mereka sumbangkan sesuatu. Jadi, setiap atlit harus dan bersemangat untuk berlawan sehingga mendapat emas. Sehingga tidak mendengar gong, jangan putus asa."
"Sudah dipupuk dalam para pesilat ini mereka harus bersaing sehingga akhir dan punyai wawasan menjadi juara. Tidak boleh ada pemikiran untuk menyasar sekadar pingat gangsa."
Menerusi Kejuaraan Dunia Pencak Silat tahun ini, Encik Alau'ddin turut menerangkan bahawa masa depan silat negara agak cerah, dengan para pelapis yang berkebolehan dan penuh semangat.
"Saya melihat walaupun mereka umur baru 16-17 tahun, mereka berani dan mahu, dan akan melihat jangka panjang mereka akan menjadi juara. Jadi ramai yang bersemangat berkobar-kobar. Jadi itu satu yang bagusnya," ujar Encik Alau'ddin.
ANIQ ASRI JADI JUARA DUNIA PADA PERCUBAAN PERTAMA
Sebelum berlawan dan bersaing untuk menjadi juara dunia pencak silat, Aniq 'Asri Yazid, 16 tahun, sebenarnya 'berlawan' dengan dirinya sendiri, yang kurang keyakinan untuk menang.
Aniq berkata: "Perasaan saya selalu takut dan gementar. Sebab ini juga Kejuaraan Dunia pertama saya dan saya antara yang paling muda di dalam pasukan silat ini."
"Sebelum ini saya bertanding di Sukan SEA pada bulan Mei, dan saya kalah sewaktu Sukan SEA. Itu yang membuat tahap keyakinan saya sangat rendah," tambah Aniq.
Jadi bagaimana Aniq boleh terus berjaya ke peringkat akhir meskipun tidak percaya akan kebolehan dirinya?
"Sebelum bersaing di peringkat suku akhir, tahap keyakinan saya sangat rendah. Sebab saya pernah berada di peringkat itu dan saya kalah (di pertandingan Sukan SEA Hanoi). Jadi saya betul-betul takut. Apabila saya berjaya, itu yang membuat keyakinan saya meningkat dan lebih bermotivasi dan bersememangat untuk ke peringkat akhir," jelas Aniq.
Dalam pada itu, Aniq yang selalunya bertarung dengan corak permainan mengejar setiap mata, menggunakan strategi yang berlainan pada kejuaraan dunia kali ini.
Aniq berkata: "Lawan saya semua memang kuat tarik. Jadi kalau saya nak terus-menerus berlawan, memang berisiko. Jadi saya ubah cara perlawanan, sebab dengan peraturan baru ini, semuanya boleh. Jadi saya berlawan dengan lebih selamat berbanding daripada cuba merebut mata. Memang saya cuba kurangkan risiko."
Ternyata, strategi perlawanan dan keyakinan diri yang meningkat membantunya mengalahkan pesilat Malaysia, Khairi Adib Azhar pada peringkat akhir, sekali gus menggelarkannya juara dunua.
Aniq menewaskan juara Sukan SEA itu melalui kalah mati teknikal, yang mencetuskan kontroversi dan rasa tidak puas hati di kalangan para peminat tuan rumah.
Aniq berkata: "Saya sebenarnya rasa takut sebab peminat mereka sudah mula mengejek dan keadaan semakin kecoh. Jadi apabila sudah menang, memang rasa gembira tetapi rasa takut juga. Tetapi sekarang apabila saya fikirkan kembali, saya rasa saya bertarung dengan adil."
Semestinya, kejayaan Aniq menjadi juara dunia dalam percubaan pertamanya itu penuh dengan pelbagai rintangan dan hambatan, dan bukan sesuatu yang datang bergolek.
"Saya rasa bangga dengan diri saya. Rasa nak putus asa memang banyak. Nak turunkan berat badan penat. Nak berlatih pun penat. "
"Tetapi sebab ini yang Aniq inginkan sejak kecil lagi. Itu yang membuat saya lebih bersemangat dan teruskan perjalanan. Akhirnya, saya bangga dan dapat capai kejuaraan ini pada usia muda lagi," jelas Aniq.
Memberikan komen mengenai persembahan Aniq, Encik Alau'ddin berkata: "Aniq, potensi dia memang bagus, sangat bersemangat."
Memandang ke hadapan, para pesilat negara berpeluang beraksi di Kejuaraan Dunia Pencak Silat Pantai serta Kejuaraan Asia Pencak Silat pada bulan-bulan mendatang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.