Olimpik Tokyo 2020: Atlit judo Algeria tarik diri untuk elak lawan Israel
Judoka Algeria Fethi Nourine memberitahu TV Algeria bahawa sokongan politiknya kepada perjuangan Palestin menyebabkan mustahil untuknya menentang atlit Israel, Tohar Butbul.
Delegasi dari Algeria di Stadium Olimpik di Tokyo, Jepun pada 23 Julai 2021. (Gambar: Ben STANSALL/AFP)
TOKYO: Seorang atlit judo dari Algeria menarik diri daripada Olimpik Tokyo sebelum acaranya dimulakan, apabila acara undian meletakan kemungkinan dia bertemu pencabar dari Israel.
Fethi Nourine memberitahu TV Algeria bahawa sokongan politiknya kepada perjuangan Palestin menyebabkan mustahil untuk dia menentang atlit Israel, Tohar Butbul.
"Kami bekerja keras untuk ke Olimpik, dan berita itu mengejutkan, seperti guruh," katanya kepada saluran itu pada Khamis (22 Jul). Nourine menegaskan keputusannya itu adalah "muktamad," dan dia tidak akan "mengotorkan tangannya."
Atlit 30 tahun itu dijadual berdepan atlit dari Sudan, Mohamed Abdalrasool pada Isnin bagi perlawanan pusingan pertamanya dalam kelas 73 kilogram lelaki. Kemenangan bagi acara itu akan meletakkannya berdepan dengan Butbul di pusingan seterusnya.
Ini bukan kali pertama Nourine menarik diri daripada pertandingan untuk elak bertemu atlit Israel. Dia turut mengambil tindakan sama pada kejuaraan dunia 2019 di Tokyo.
"Nasib kami buruk dalam undian perlawanan. Kami mendapat lawan Israel dan itulah sebabnya kami perlu mengundurkan diri. Kami membuat keputusan yang tepat," kata jurulatih Nourine, Amar Ben Yaklif seperti dinukil media Algeria.
Konflik Israel-Palestin telah berlarutan selama beberapa dekad, dengan ketegangan kembali memuncak tahun ini apabila pertembungan di Baitulmakdis mencetuskan pertempuran rentas sempadan.
Atlit-atlit dari negara lain, termasuk Iran dan Mesir, sebelum ini juga enggan bertarung dengan atlit dari Israel.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.