Skip to main content

Sukan

Olimpik Paris 2024: Yeo Jia Min tersingkir selepas kecundang di tangan pemain badminton Jepun

Anggaran Waktu Membaca:
Olimpik Paris 2024: Yeo Jia Min tersingkir selepas kecundang di tangan pemain badminton Jepun

(Gambar: Sport Singapore/Jeremy Lee)

Diterbitkan : 02 Aug 2024 07:56AM
PARIS: Dalam pertarungan sengit selama 62 minit, hanya dua mata sahaja yang memisahkan pemain badminton Singapura, Yeo Jia Min dengan pemain nombor 10 dunia dari Jepun, Aya Ohori.

Dan di sebalik perjuangan yang berani, Yeo akhirnya kecundang dalam perlawanan pusingan 16 pemain terakhir Sukan Olimpik Paris 2024.

Di Arena Porte de La Chapelle, pemain nombor 20 dunia, Yeo tewas 21-11, 14-21, 22-24 kepada pemain nombor 10 dunia itu. Ini bermakna Yeo tersingkir daripada Sukan Olimpik Paris 2024.

"Saya sedih kerana saya tidak dapat meraih kemenangan untuk Singapura hari ini," kata Yeo yang kecewa, setelah ketinggalan 20-19 dalam set akhir.

"Saya tidak berasa terlalu letih, ia lebih seperti satu kekecewaan. Mungkin saya meletakkan harapan yang terlalu tinggi dan kemudian saya tidak dapat mengawal emosi saya.”

Sebelum Khamis, Yeo pernah berdepan dengan Ohori sebanyak tiga kali sepanjang kariernya dan tidak pernah menewaskan pemain Jepun itu.

Pertemuan terakhirnya dengan Ohori adalah pada Mac tahun ini.

“Saya sentiasa turun ke gelanggang dan percaya bahawa saya boleh menang. Kali ini saya juga berada dalam keadaan yang lebih baik dan kecederaan saya tidak menghalang saya,” kata Yeo. "Saya tahu saya mempunyai sedikit peluang (dalam perlawanan ini)."

Walaupun kalah, Yeo berhasil menyamai pencapaian terbaik oleh pemain perseorangan wanita Singapura pada temasya sukan itu. Ini selepas pemain negara, Gu Juan pada 2012, turut tersingkir pada pusingan 16 pemain terakhir.

Ini adalah penampilan kedua Yeo yang berusia 25 tahun di Sukan Olimpik - beliau tersingkir di peringkat kumpulan Sukan Olimpik Tokyo tiga tahun lalu.

Rakan senegara Yeo, Loh Kean Yew mara ke suku akhir selepas mengalahkan pemain nombor enam dunia dari China, Li Shifeng.

Pemain nombor 12 dunia itu akan menentang pemain nombor 2 dunia Denmark, Viktor Axelsen dalam perlawanan pada Khamis (1 Ogos).

Anda boleh ikuti liputan Sukan Olimpik Paris 2024 di mewatch. Lungsuri www.mewatch.sg/paris2024 bagi butiran lanjut.
Sumber : CNA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita