Skip to main content

Sukan

Olimpik Paris 2024: Maximilian Maeder duduki tangga kedua selepas 7 perlumbaan

Anggaran Waktu Membaca:
Olimpik Paris 2024: Maximilian Maeder duduki tangga kedua selepas 7 perlumbaan

(Gambar: AFP/Christophe SIMON)

MARSEILLE: Angin sepoi-sepoi menyebabkan hanya dua daripada lima perlumbaan 'kitefoiling' yang dijadualkan dapat dijalankan pada Selasa (6 Ogos), dengan atlet Singapura dan juara dunia Maximilian Maeder kini menduduki tangga kedua.

Maeder yang membuat penampilan sulungnya di Sukan Olimpik meraih 15 mata selepas tujuh perlumbaan dalam siri pembukaan. Dia berada di belakang atlet Slovenia, Toni Vlodisek, yang mempunyai 12 mata.

Atlet dari Itali Riccardo Pianosi berada di tangga ketiga dengan 20 mata. Valentin Bontus dari Austria, yang berada di tangga ketiga sebelum ini, jatuh satu tangga ke tempat keempat selepas beliau disingkirkan pada perlumbaan keenam.

Di Marseille Marina, Maeder memulakan perlumbaan di tangga pertama, dengan mata yang sama dengan Vlodisek dan satu mata di hadapan Bontus.

Namun pada perlumbaan hari pertama, beliau menamatkan perlumbaan di tempat ke-11, manakala Vlodisek menduduki tempat pertama. Atlet Singapura itu kemudian menamatkan perlumbaan kedua di tempat keempat, manakala pesaingnya dari Slovenia menduduki tempat ke-12.

Terdapat sehingga 16 perlumbaan dalam siri pembukaan 'kitefoil', sebelum atlet merebut pingat pada Khamis (8 Ogos).

Siri pembukaan menggunakan sistem 'mata rendah' seperti sukan layar, di mana mata diberikan berdasarkan kedudukan atlet. Sebagai contoh, atlet yang menang perlumbaan diberi satu mata.

Sebagai sebahagian daripada format, peserta dengan markah perlumbaan paling banyak boleh disingkirkan, bergantung kepada jumlah perlumbaan yang dipertandingkan dalam siri pembukaan, dan baki markah membentuk mata diraih setiap pesaing.

Kedudukan keseluruhan dikira dengan mata yang diraih.

Atlet yang berada di dua tangga teratas akan langsung mara ke peringkat akhir, manakala mereka yang berada di tangga ketiga hingga ke-10 akan bertanding dalam dua peringkat separuh akhir. Pemenang pusingan separuh akhir akan mara ke peringkat seterusnya.

Di peringkat akhir, peserta perlu menang tiga perlawanan untuk merangkul pingat emas.

Pada Mei, Maeder berjaya mempertahankan takhta juara dunia. Atlet itu juga merangkul pingat emas pada Ogos lalu dalam acara kategori lelaki Kejohanan Dunia Sukan Layar di Belanda.

Sebelum ini, pemenang pingat emas Sukan Asia berkenaan memenangi lima acara berturut-turut, termasuk di Kejohanan Eropah 'Formula Kite' pada Mac.

Anda boleh ikuti liputan Sukan Olimpik Paris 2024 di mewatch. Lungsuri www.mewatch.sg/paris2024 bagi butiran lanjut.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita