Olimpik Paris 2024: Majlis penutup diadakan di Stade de France, dimeriahkan penyanyi dunia
Lebih 8.8 juta tiket terjual untuk Sukan Olimpik Musim Panas 2024; rekod sebelum ini sebanyak 8.3 juta tiket terjual semasa Sukan Olimpik 1996 di Atlanta.
(Gambar: laman web Olimpik)
PARIS: Perancis akan mengadakan majlis penutup Sukan Olimpik Musim Panas 2024 di Stade de France, utara Paris, yang diberi nama "Records", lapor Sputnik.
Majlis penutup itu akan menampilkan persembahan daripada Red Hot Chili Peppers, Billie Eilish dan Snoop Dogg.
Lebih daripada 8.8 juta tiket telah terjual untuk Sukan Olimpik Musim Panas 2024. Rekod sebelum ini sebanyak 8.3 juta tiket terjual dicatatkan semasa Sukan Olimpik 1996 di Atlanta.
Singapura meraih pingat gangsa menerusi atlet layar kitefoil Max Maeder.
Satu perarakan bas terbuka akan diadakan pada 14 Ogos ini bagi meraikan pencapaian atlet Team Singapore yang bertanding dalam Olimpik Paris.
Majlis Sukan Singapura (SPORTSG) menyatakan, sekurang-kurangnya lapan atlet kebangsaan akan mengambil bahagian dalam perarakan itu, bermula di Bayfront Avenue pada 11.45 pagi, kemudian melalui Chinatown, Orchard Road, Serangoon Road dan Victoria Street.
Seramai 23 atlet mewakili Singapura dalam 11 sukan di Olimpik Paris kali ini.
Sementara itu, Singapura diwakili sembilan atlet di Paralimpik Musim Panas di Paris dari 28 Ogos hingga 8 September.
Sebanyak 549 acara ditampilkan dalam 22 sukan dengan atlet Singapura bertanding dalam lima sukan iaitu boccia, memanah, ekuestrian, renang dan menembak.
Atlet renang para Toh Wei Soong pula dipilih membawa bendera negara di Paralimpik 2024.
Sukan Olimpik Musim Sejuk akan diadakan di Milan dan Cortina d'Ampezzo, Itali, dari 6 hingga 22 Feb 2026.
Sukan Olimpik Musim Panas berikutnya akan berlangsung di Los Angeles, California, dari 14 hingga 30 Julai 2028.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.