Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Olimpik: Atlit tenis meja Yu Mengyu mara ke pusingan suku akhir

Atlit tenis meja Singapura Yu Mengyu menumpaskan Liu Juan dari Amerika Syarikat di Gimnasium Metropolitan Tokyo pada Selasa (27 Jul), sekali gus menempah tempat di suku akhir  acara perseorangan wanita di Olimpik Tokyo. 

Anggaran Waktu Membaca:
Olimpik: Atlit tenis meja Yu Mengyu mara ke pusingan suku akhir

Yu Mengyu menentang atlit meja dari Chinese Taipei pada 27 Jul. (Gambar: SNOC)

Diterbitkan : 27 Jul 2021 04:59PM Dikemas Kini : 27 Jul 2021 08:31PM

TOKYO: Atlit tenis meja Singapura Yu Mengyu menumpaskan pemain Liu Juan dari Amerika Syarikat di Gimnasium Metropolitan Tokyo pada Selasa (27 Jul) sekali gus menempah tempat di suku akhir acara perseorangan wanita Sukan Olimpik Tokyo.

Yu yang menduduki tangga ke-47 ranking dunia menunjukkan prestasi mengagumkan ketika  beraksi buat kali kedua hari ini menundukkan lawannya yang berusia 36 tahun, 4-2.

Atlit negara itu menang 11-9, 11-9, 11-9, 8-11, 6-11, 11-8 untuk mara ke pusingan suku akhir menentang Kasumi Ishikawa dari Jepun yang menduduki tangga ke-10 dunia pada Rabu (28 Jul).

Dengan keputusan itu, Yu menyamai prestasi perseorangan terbaiknya di Olimpik memandangkan beliau turut mara ke suku akhir di Rio pada 2016.

Awal sebelum ini, Yu menumpaskan pemain nombor 8 dunia Cheng I-Ching 4-0,  sekali gus melayakkan diri bagi pusingan 16 pemain terbaik acara wanita perseorangan di Olimpik Tokyo. Yu mengalahkan pemain dari Taipei China itu 11-5, 11-9, 12-10, 11-6.

Warga Singapura itu mempunyai rekod cemerlang menentang Cheng dan melangkah masuk ke perlawanan hari ini dengan rekod kemenangan 10-3.

Yu, 31 tahun, menunjukkan permulaan baik dengan mendahului 6-0. Meskipun lawannya berjaya memungut beberapa mata, pemain Singapura itu menang mudah 11-5 dalam set pertama.

Yu, yang rekod terbaik Olimpiknya adalah di peringkat suku akhir pada 2016, mengekalkan serangan dan akhirnya menang 11-9 dalam set kedua.

Cheng membuka langkah pada pusingan ketiga dan mengutip tiga mata berturut-turut selepas waktu rehat dan meletakkan skor pada 9-6. Bagaimanapun wakil Singapura itu berjaya menguasai kembali permainan dan menamatkannya dengan kutipan mata 12-10.

Meskipun lawannya menunjukkan tanda-tanda untuk bangkit semula dalam set terakhir, Yu berjaya menempa kemenangan 11-6.

Yu mendapat cuti rehat pada Isnin, setelah menang menentang Shao Jieni dari Portugal pada Ahad.

Ini menurutnya amat membantu memandangkan pesaingnya baru saja selesai perlawanan regu campuran di mana dia memenangi pingat gangsa.

"Saya dapat rehat semalam, sementara Cheng mungkin sudah menggunakan seluruh tenaganya dalam perlawanan regu campuran," tambah Yu, yang menggunakan hari cuti untuk memperhalusi strategi melawan Cheng.

Sebagai rangkaian Sukan Olimpik, Mediacorp akan membawa liputan meluas Sukan Olimpik Tokyo 2020. Lungsuri laman mediacorp.sg/tokyo2020 untuk butiran lanjut.  

Sumber : CNA/TQ/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan