OCBC Cycle 2025 beralih ke format maya dek sumber keselamatan 'terhad' sempena GE2025
Acara berbasikal OCBC Cycle 2025 yang dijadual berlangsung pada 3 dan 4 Mei akan diubah kepada format maya sepenuhnya, menurut penganjur pada Khamis (17 Apr).

Para peserta di acara berbasikal OCBC Cycle 2024. (Gambar: Facebook/OCBC Cycle)
Perubahan tersebut dibuat disebabkan sumber keselamatan yang "terhad" sepanjang hujung minggu itu.
Singapura akan mengadakan Pilihan Raya Umum yang ke-14 pada Sabtu, 3 Mei.
“Disebabkan skala acara OCBC Cycle yang besar, sejumlah besar sumber keselamatan diperlukan bagi penutupan jalan demi memastikan keselamatan semua peserta dan pengguna jalan lain,” menurut penganjur.
Pada hujung minggu berkenaan, sumber keselamatan adalah terhad, tambahnya.
Acara tersebut tidak boleh dijadualkan semula kerana "ruang yang mencukupi" di Hab Sukan Singapura tidak tersedia pada mana-mana hujung minggu lain tahun ini.
Pilihan untuk memindahkan acara OCBC Cycle ke lokasi lain turut dipertimbangkan, menurut penganjur.
Namun, tiada tempat lain yang sesuai untuk menampung laluan berbasikal jarak jauh dalam kawasan bandar bagi sehingga 7,000 pengayuh, tambahnya.
Semua peserta, termasuk mereka yang telah mendaftar bagi Kayuhan Maya (Virtual Ride) 100km dan Kayuhan Maya Mengelilingi Pulau (Round Island Virtual Ride), akan menerima bayaran balik penuh menjelang akhir Mei.
Peserta kategori kayuhan beramai-ramai boleh menyertai versi maya acara tersebut secara percuma.
Sementara itu, Kejohanan Terbuka Speedway OCBC Cycle juga dibatalkan disebabkan format perlumbaannya yang tidak sesuai.
Semua kayuhan maya mesti diselesaikan sebelum atau pada 2 Jun, jelas penganjur.
Peserta boleh mengambil pek acara di pusat pelawat Hab Sukan Singapura antara 2 hingga 4 Mei. Mereka juga akan menerima pingat selepas menyelesaikan kayuhan maya masing-masing.
Pendaftaran bagi acara itu telah ditutup, menurut OCBC Cycle, sambil menambah bahawa semua peraduan dan pemasaran akan diteruskan, dan para pemenang akan menerima hadiah seperti yang dijanjikan.
Konsep Kayuhan Maya bukan sesuatu yang baharu – ia diperkenalkan pada 2020 semasa sekatan COVID-19 dan telah diteruskan sejak empat tahun lalu.
Dari 3 Mei hingga 2 Jun, peserta yang melengkapkan jarak kayuhan mereka dalam satu pusingan, di mana-mana lokasi yang selamat, sama ada di dalam atau luar bangunan, akan dianggap telah menyelesaikan acara tersebut.
Bagi peserta Kayuhan Maya 100km, mereka boleh menyelesaikan jarak tersebut dalam empat sesi.
Untuk membuktikan penyertaan dalam kayuhan maya yang sudah diselesaikan, para peserta perlu menggunakan penjejak kecergasan atau aplikasi senaman di telefon bijak yang boleh merekod butiran kayuhan mereka.
Menurut OCBC Cycle, pingat bagi acara itu akan dihantar melalui pos kepada peserta setelah jarak kayuhan maya diselesaikan dan bukti masa diterima penganjur.
Para peserta juga boleh memuat turun salinan sijil penyertaan elektronik daripada laman web acara tersebut selepas butiran kayuhan maya mereka disahkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.