Skip to main content

Sukan

Novak Djokovic tidak dibenarkan masuk ke Australia

Pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic, tidak dibenarkan masuk ke Australia hari ini (6 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Novak Djokovic tidak dibenarkan masuk ke Australia

Pemain tenis Serbia Novak Djokovic. (Gambar: AFP)

MELBOURNE: Pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic, tidak dibenarkan masuk ke Australia hari ini (6 Jan).

Ini setelah Djokovic diberikan pengecualian perubatan daripada syarat-syarat vaksinasi COVID-19 negara itu agar beliau dapat beraksi dalam Kejohanan Terbuka Australia.

Bintang tenis itu, yang terkandas semalaman di Lapangan Terbang Tullamarine di Melbourne di tengah-tengah pergolakan politik, menerima surat daripada pemerintah Australia yang menyatakan visanya ditolak dan beliau akan diarah pulang pada Khamis.

Pasukan sempadan Australia kemudian mengesahkan visa Djokovic sudah ditarik balik.

"Encik Djokovic gagal mengemukakan bukti yang sewajarnya untuk memenuhi syarat-syarat kemasukan ke Australia dan visanya akhirnya dibatalkan," menurut Pasukan Sempadan Australia dalam satu kenyataan.

"Individu bukan warganegara, yang tidak memegang visa yang sah sewaktu kemasukan atau yang visanya sudah dibatalkan, akan ditahan dan dikeluarkan dari Australia," tambahnya.

Pemain itu akan memfailkan injunksi untuk menghalang dirinya daripada dihantar pulang, satu sumber yang dekat dengan perlawanan tersebut memberitahu Reuters. Sementara itu, Djokovic sedang dalam perjalanan ke sebuah hotel di Melbourne.

Djokovic tiba di Lapangan Terbang Tullamarine sekitar pukul 11.30 malam waktu tempatan pada Rabu (5 Jan) selepas penerbangan selama 14 jam dari Dubai.

Namun, beliau kemudian diiring ke sebuah bilik pengasingan di bawah pemantauan pengawal polis selepas para pegawai Australia berkata visanya tidak dibenarkan bagi pengecualian perubatan.

Sumber tersebut memberitahu Reuters visa dan kertas kerja yang digunakan Djokovic untuk memasuki Australia adalah sama seperti yang digunakan oleh tiga pemain tenis lain yang sudahpun tiba di negara itu.

Langkah oleh pemerintah Australia itu mengancam akan mencetuskan satu pertikaian diplomatik antara Canberra dengan Belgrade.

"Saya baru selesai bercakap dengan Novak Djokovic di telefon," kata Presiden Serbia Aleksandar Vucic dalam satu catatan di Instagram.

“Saya memberitahu Novak bahawa seluruh Serbia bersamanya dan badan-badan kami akan melakukan segalanya bagi memastikan gangguan terhadap pemain tenis terbaik dunia itu dihentikan dengan serta-merta.

"Sejajar dengan norma undang-undang antarabangsa, Serbia akan berjuang untuk Novak, kebenaran dan keadilan. Novak seorang yang kuat, kami semua tahu itu."

Encik Vucic sudah bertemu dengan duta Australia di Belgrade dan menuntut agar mereka segera membebaskan Djokovic untuk beraksi dalam perlawanan Terbuka Australia, lapor media Serbia.

Perdana Menteri Australia Scott Morrison berdepan tindak balas hebat terhadap keputusan pemerintahnya untuk memberikan Djokovic pengecualian perubatan daripada vaksinasi untuk bermain di sukan Terbuka itu.

Hal ini menyebabkan pentadbiran konservatif perdana menteri itu dan pemerintah Victoria berhaluan kiri, yang dipimpin oleh Perdana Menteri Dan Andrews, untuk saling menuding jari antara satu sama lain.

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita