Norris unggul dalam sesi latihan F1 di SG, Russel terbabas

Lando Norris dari McLaren semasa sesi latihan kedua pada 20 Sep 2024 menjelang perlumbaan Formula One di Singapura. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)
Max Verstappen dari Red Bull, yang sedang mendahului kejohanan selepas meraih mata tertinggi sejauh ini, malangnya menduduki tangga ke-15 dalam sesi latihan sama.
Norris pula mencatat masa terbaik satu minit 30.727 saat, 0.058 saat lebih pantas daripada Leclerc. Ini satu perubahan berbanding prestasi yang dicatat dalam sesi pertama pada siang hari.
Masa yang dicatat Norris juga 0.629 saat lebih pantas daripada pemenang tahun lepas Carlos Sainz, dari Ferrari.
Masa yang dicatat Verstappen - yang mendahului pesaing terdekatnya, Norris, dengan lebih 59 mata - adalah 1.294 saat lebih lambat daripada masa terpantasnya. Ada baki tujuh perlumbaan bagi musim ini.
Sementara itu, rakan sepasukan Verstappen, Sergio Perez, berada di tempat kelapan di litar Marina Bay yang berliku. Beliau berkata keretanya kurang seimbang dan "tidak kelihatan baik pada masa ini", dengan banyak kerja perlu dilakukan sepanjang malam.
Verstappen bersetuju bahawa ia adalah hari yang sukar kerana kereta yang dipandu "tidak mempunyai cengkaman yang diinginkan."
Pemandu Mercedes, George Russell, yang menamatkan sesi latihan di tempat ketujuh terpantas, terbabas pada minit-minit akhir di selekoh kelapan. Mujur beliau berjaya mengundur dan kembali ke pit, meski tanpa bahagian depan keretanya.
Yuki Tsunoda dari RB pula mengejutkan orang ramai dengan mencatat masa keempat terpantas, di hadapan Oscar Piastri dari McLaren dan Daniel Ricciardo dari RB.
Masa depan Daniel Ricciardo di RB masih tidak pasti, dan perlumbaan di Singapura mungkin menjadi yang terakhir buatnya walaupun beliau menduduki tempat keenam dalam sesi latihan.
Juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton, yang empat kali memenangi perlumbaan di Singapura, berada di tempat ke-11 bagi Mercedes manakala Fernando Alonso dari Aston Martin di tempat ke-12.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.