Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Naomi Osaka tarik diri dari separuh akhir WTA sebagai bantahan terhadap penembakan Jacob Blake

Pemain tenis Jepun Naomi Osaka menarik diri daripada peringkat separuh akhir Kejohanan Terbuka WTA Western & Southern pada Khamis (27 Ogos) di New York bagi membantah tindakan polis menembak seorang lelaki kulit hitam yang tidak bersenjata di Wisconsin.

Anggaran Waktu Membaca:
Naomi Osaka tarik diri dari separuh akhir WTA sebagai bantahan terhadap penembakan Jacob Blake

Gambar fail Naomi Osaka

Diterbitkan : 27 Aug 2020 03:08PM Dikemas Kini : 27 Aug 2020 03:10PM

NEW YORK: Pemain tenis Jepun Naomi Osaka menarik diri daripada peringkat separuh akhir Kejohanan Terbuka WTA Western & Southern pada Khamis (27 Ogos) di New York bagi membantah tindakan polis menembak seorang lelaki kulit hitam yang tidak bersenjata di Wisconsin.

Osaka, juara Grand Slam sebanyak dua kali, dijadual menentang Elise Mertens dari Belgium dalam kumpulan kuarantin yang sama di mana Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat akan berlangsung mulai Isnin.

"Sebelum menjadi seorang atlit, saya terlebih dahulu adalah seorang wanita kulit hitam. Dan sebagai wanita kulit hitam saya berasa seolah-olah ada banyak perkara penting yang perlu segera diberikan perhatian dan bukan setakat menyaksikan saya bermain tenis," kata Osaka dalam kenyataan di Twitter.

"Saya tidak mengharapkan sesuatu yang drastik akan berlaku jika saya tidak turun gelanggang, tetapi jika saya dapat memulakan perbualan dalam sukan yang sebahagian besar pemainnya berkulit putih, saya menganggapnya sebagai satu langkah ke arah yang betul."

Beliau membuat keputusan untuk menarik diri selepas Jacob Blake, lelaki kulit hitam ditembak di Kenosha, Wisconsin pada Ahad dan pasukan bola keranjang Milwaukee Bucks dari NBA memulaukan perlawanan yang dijadual berlangsung pada Rabu.

Semua perlawanan NBA pada Rabu akhirnya ditunda dan kelab-kelab Liga Utama Besbol dan pasukan Wanita NBA turut mengikut jejak sama sebelum Osaka menjadi pemain tenis pertama untuk berbuat demikian.

"Sejujurnya, menyaksikan pembunuhan orang kulit hitam yang berterusan di tangan polis membuat saya rasa sangat kecewa," kata Osaka.

"Saya bosan dengan tanda pagar (bantahan) baru yang muncul setiap beberapa hari dan saya tidak lagi mahu mengadakan perbualan yang sama berulang kali.

"Bilakah semua ini akan berakhir?"

Blake ditembak sebanyak tujuh kali dari belakang oleh para pegawai polis ketika dia cuba menaiki kereta yang membawa tiga orang anaknya.

Tunjuk perasaan meletus di Kenosha sejak kejadian tembakan itu, dengan dua orang terbunuh setelah seorang lelaki melepaskan tembakan ke arah para penunjuk perasaan menggunakan senapangnya pada Selasa.

Isu keganasan polis dan perkauman sistemik dibangkitkan pada Mei menyusuli kematian George Floyd, seorang lelaki kulit hitam tidak bersenjata, yang meninggal dunia setelah seorang pegawai polis Minneapolis melutut pada bahagian leher Floyd selama lebih daripada lapan minit.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan