Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

'Mustahil tidak tertekan'; juara dunia Loh Kean Yew impi emas Sukan SEA pula

Anggaran Waktu Membaca:
'Mustahil tidak tertekan'; juara dunia Loh Kean Yew impi emas Sukan SEA pula

(Gambar: Aaron Favila/AP)

Diterbitkan : 15 May 2022 09:56PM Dikemas Kini : 15 May 2022 10:15PM

SINGAPURA: Banyak perkara yang sudah berubah sejak Loh Kean Yew dinobatkan sebagai juara dunia badminton pada Disember lalu.

Namun, impian atlit berusia 24 tahun itu untuk menyerlah di Sukan SEA tetap kekal.

Tahun ini merupakan Sukan SEA yang ke-empat bagi Loh.

"Sukan SEA adalah salah satu pertandingan di mana anda boleh mewakili Singapura dengan kontinjen yang lain. Ia akan terasa berbeza," kata pemain ke-10  terbaik dunia itu kepada CNA menerusi panggilan telefon dari Bangkok di mana beliau dan pasukan lelaki kebangsaan sedang bersaing dalam Piala Thomas.

Semasa pertandingan Sukan SEA 2015, Loh merangkul pingat gangsa dalam kategori perseorangan lelaki, pingat pertamanya dalam pertemuan acara sukan serantau itu.

"Sebelum ini, saya melihat bahawa saya boleh bermain dengan baik dengan pemain lebih berpengalaman dan berkedudukan tinggi dalam senarai pemain terbaik dunia. Namun Sukan SEA merupakan pertandingan sukan terbesar pertama di mana saya membuktikan kebolehan diri saya."

Pada ketika itu jugalah beliau mengambil keputusan untuk berhenti sekolah bagi memberi tumpuan kepada badminton sepenuh masa.

Meskipun gagal membawa pulang pingat pada 2017, Loh berjaya merangkul satu pingat perak dua tahun kemudian setelah kalah di tangan pemain dari Malaysia, Lee Zii Jia, di peringkat akhir.

"Saya pernah meraih pingat gangsa dan perak dalam acara perseorangan, namun tidak pernah mengenggam pingat emas. Secara semula jadinya, itulah matlamat saya, sasaran saya," ungkapnya.

"Sudah sekian lama kami tidak memenangi pingat emas dalam kategori perseorangan lelaki...Ia tentunya sangat bermakna buat saya."

Kali terakhir Singapura memenangi kategori perseorangan lelaki adalah di Sukan Sea 1983 - di mana Singapura menjadi tuan rumah - yang dimenangi oleh Wong Shoon Keat.

'SAYA TENTU SEKALI PERLU MEMPERBAIKI DIRI SAYA'

Selepas memenangi gelaran Kejuaraan Dunia, Loh juga sedang mempelari untuk menangani jangkaan baik yang ditetapkan dirinya sendiri mahupun dari orang lain.

"Mustahil untuk tidak merasakan sebarang tekanan. Saya sedang cuba menghadapinya dengan bersemuka secara langsung, memperakui bahawa saya adalah juara dunia dan juga menerima tekanan serta menumpukan kepada kemajuan diri," ujar beliau.

Pada masa yang sama, rakyat Singapura itu juga menyedari bahawa perjalanan untuk memperbaiki diri adalah sebuah proses yang perlu dilalui langkah demi langkah dan beliau senantiasa merendah diri.

Sukan SEA di Hanoi adalah pertandingan ketujuh yang disertai Loh untuk tahun ini, namun beliau tidak merungut.

Ia adalah satu-satunya perjalanan yang beliau tidak mahu ketinggalan dan tentunya, menjadi lebih manis lagi sekiranya beliau dapat membawa pulang pingat emas.

Ikuti liputan Sukan SEA ke-31 di Vietnam secara langsung di meWatch atau ikuti sorotannya di saluran YouTube Mediacorp Entertainment.

Sumber : CNA/SY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan