Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Muhammad Mikhail Haziq satu-satunya anak Melayu gimnastik wakili negara bagi Sukan Komanwel 2022

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Minat di hatinya sebenarnya membakar untuk sukan bola sepak.

Namun sewaktu di Menengah 1, Muhammad Mikhail Haziq Mohammad Ghazali dipujuk bapanya untuk cuba sukan gimnastik.

Tidak disangka dirinya mahupun bapanya, Mikhail kini berjaya meraih peluang untuk wakili negara dalam acara kejohanan besar sebanyak dua kali di gelanggang gimnastik.

Ini termasuk penglibatannya dalam Sukan SEA 2021 yang diadakan di Hanoi, Vietnam, di mana Mikhail merangkul pingat gangsa dalam acara artistik berpasukan lelaki.

Mikhail memberitahu BERITAmediacorp: "Tahun ini sangat baik untuk saya. Banyak peluang yang diberikan. Sukan SEA pertama sekali dan kedua adalah Kejohanan Asia. Saya tidak sangka akan mewakili Singapura tetapi saya gembira dapat diberikan peluang ini."

Pada lewat bulan ini pula, anak kedua daripada tiga beradik itu akan mengambil satu lagi langkah yang membanggakan keluarganya- mewakili Singapura dalam Sukan Komanwel dalam Gimnastik Artistik lelaki bagi acara Pommel Horse.

"Ini adalah Sukan Komanwel pertama saya dan saya sebenarnya tidak tahu apa yang saya patut jangkakan tetapi pengalaman saya daripada kedua-dua temasya sukan sebelum ini membantu saya. Saya tahu suasana dan tekanan yang saya akan hadapi," jelas Mikhail.

LATIHAN INTENSIF UNTUK MIKHAIL, BERLATIH ENAM HARI SEMINGGU

Latihan intensif menjelang Sukan Komanwel sudah bermula untuk Mikhail dan para atlit gimnastik lain termasuk perlu berlatih enam hari seminggu, sehingga empat jam setengah setiap hari.

"Perbezaan utamanya adalah rejim dan intensiti latihan. Kita ada rejim yang standard untuk semua atlit yang perlu dilakukan setiap hari tetapi menjelang kejohanan besar, kita mempunyai rutin atau latihan tambahan yang perlu kita lakukan di samping rejim standard," jelas Mikhail.
Menurut Mikhail, latihan lebih intensif itu jelas mencabar kekuatan daya mindanya.

Mikhail berkata: "Intensiti latihan lebih tinggi daripada latihan biasa. Jadi ia sebenarnya menguji daya minda saya untuk terus bertahan dan menghabiskan latihan. Itulah yang juga saya sedang lakukan untuk cuba menguatkan daya minda saya."

Sedang Mikhail perlu meluangkan waktu petang hingga malam di gelanggang gimnastik setiap hari, dia merasakan bahawa ia sesuatu cabaran, terutama sekali untuk mengimbangi masa antara latihan dan pelajarannya.

Beliau kini dalam tahun ketiga kursus diplomanya dalam jurusan Pengurusan Sukan di Politeknik Republik.

Mikhail berkata, "Menguruskan masa untuk pelajaran dan latihan intensif sangat mencabar, terutama sekali selepas latihan, saya rasa sangat penat. Terlalu penat untuk menghabiskan kerja sekolah tetapi saya tahu saya masih perlu melakukannya. Jika tidak ada latihan, saya boleh menumpukan usaha dan masa dalam pelajaran."

Namun, segala pengorbanan Mikhail diharapkannya akan berbaloi untuk Sukan Komanwel nanti.

"Saya ingin cuba yang terbaik dan melihat kedudukan saya di antara para atlit lain," kata Mikhail dengan yakin.

Pasukan Gimnastik negara untuk Sukan Komanwel kali ini merangkumi lapan atlit wanita dan dua atlit lelaki yang akan beraksi dalam 10 acara berbeza.
Sumber : BERITA Mediacorp/HK/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan