Messi luah harapan kembali ke Barcelona
Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Lionel Messi mahu kembali ke Barcelona selepas menggantungkan butnya dengan memainkan peranan di luar padang di bahagian teknikal kelab itu.

Pemain bola sepak Argentina, Lionel Messi, bercakap di sedang media. (Gambar: STEPHANE DE SAKUTIN/AFP)
PARIS: Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Lionel Messi mahu kembali ke Barcelona selepas menggantungkan butnya dengan memainkan peranan di luar padang di bahagian teknikal kelab itu.
Messi menghabiskan kerjayanya selama dua dekad di Barcelona dengan memahat namanya sebagai penyerang selain melakukan penampilan terbanyak dalam sejarah kelab berkenaan sebelum menyertai PSG menjelang musim 2021-22 selepas gergasi La Liga itu bergelut dengan kedudukan kewangan yang meruncing.
Pemenang enam Ballon d'Or itu menyuarakan minatnya untuk kembali ke Barca di mana dia memenangi 35 trofi termasuk 10 gelaran La Liga dan empat mahkota Liga Juara-Juara Eropah.
"Ya, saya selalu berkata bahawa saya ingin kembali untuk membantu Barcelona dalam apa cara sekalipun,” katanya yang masih belum menjaringkan sebarang gol dalam Ligue 1 kepada Sport, seperti dilaporkan Astro Awani.
"Saya mahu menjadi seseorang yang berguna supaya Barcelona dapat diuruskan dengan baik. Saya ingin menjadi setiausaha teknikal tetapi saya tidak tahu sama ada jawatan itu akan diwujudkan di Barcelona.
"Saya ingin kembali menyumbang dengan kemampuan yang saya ada kerana saya sayangkan Barcelona dan saya mahu mereka terus bermain dengan baik, berkembang dan menjadi antara yang terbaik di dunia."
Messi hampir meninggalkan Barca pada 2020 apabila dia dikaitkan dengan Manchester City, PSG dan Inter Milan setelah semakin tidak berpuas hati dengan pengurusan kelab, tetapi syarat pelepasan kontraknya menyebabkan dia terus kekal di Barcelona.
Barcelona telah mengharungi kempen yang sukar sejak kehilangan kapten pasukan Argentina itu apabila menduduki tempat kesembilan dalam La Liga hingga membawa kepada pemecatan pengurus, Ronald Koeman.
Kelab Sepanyol itu telah meraih 16 mata daripada 11 perlawanan La Liga musim ini, hasil empat kemenangan dan tiga kekalahan - menyamai permulaan terburuk mereka dalam kempen 2000-2001 dan 2002-03.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.