Skip to main content

Sukan

Messi intai Piala Dunia FIFA 2026 namun prihatin terhadap faktor usia, kecergasan

Lionel Messi, yang masih memburu kegemilangan di pentas antarabangsa selepas hampir dua dekad beraksi, berkata beliau berharap dapat beraksi di Piala Dunia FIFA 2026 di Amerika Utara.

Anggaran Waktu Membaca:
Messi intai Piala Dunia FIFA 2026 namun prihatin terhadap faktor usia, kecergasan

Bintang bola sepak Argentina, Lionel Messi. (Gambar: REUTERS/Agustin Marcarian)

ARGENTINA: Lionel Messi, yang masih memburu kegemilangan di pentas antarabangsa selepas hampir dua dekad beraksi, berkata beliau berharap dapat beraksi di Piala Dunia FIFA 2026 di Amerika Utara. Namun, pemain itu mengakui usia dan tahap kecergasannya akan menentukan peranannya dalam usaha Argentina mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya pada 2022.

Bintang Argentina itu baru-baru ini melanjutkan kontraknya bersama kelab Liga Utama Amerika (MLS), Inter Miami, hingga 2028. Langkah tersebut merupakan satu petanda bahawa beliau masih belum memikirkan tentang persaraan meskipun bakal mencecah usia 39 tahun pada Jun depan.

Bercakap kepada NBC News, pemenang Ballon d’Or sebanyak lapan kali itu berkata beliau akan mengambil masa pada tahun depan untuk menilai tahap fizikalnya sebelum membuat keputusan sama ada untuk beraksi dalam kejohanan yang berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada itu.

“Ia sesuatu yang luar biasa untuk beraksi di Piala Dunia, dan saya sangat menginginkannya,” kata kapten Argentina itu dalam satu temu bual yang disiarkan pada Isnin (27 Okt).

“Saya ingin berada di sana, berada dalam keadaan yang baik dan menjadi sebahagian penting dalam usaha membantu pasukan saya, sekiranya saya dipilih. Saya akan menilai perkara itu dari hari ke hari apabila memulakan pra-musim tahun depan bersama Inter Miami dan menimbangkan sama ada saya benar-benar boleh mencapai tahap 100 peratus, jika saya mampu memberi sumbangan, dan kemudian membuat keputusan.

“Saya sangat teruja kerana untuk beraksi di Piala Dunia FIFA 2026. Kami baru sahaja menjuarai edisi terakhirnya, dan untuk mempertahankannya sekali lagi adalah sesuatu yang luar biasa, kerana bermain untuk pasukan kebangsaan sentiasa menjadi impian saya,” tambahnya.

Messi menikmati kerjaya profesional selama lebih 20 tahun, bermula dengan penampilan sulungnya bersama Barcelona pada usia 17 tahun pada 2004 sebelum beraksi untuk Paris Saint-Germain dan kemudian menyertai Inter Miami pada 2023.

Kehadirannya merangsang minat terhadap liga bola sepak Amerika pada saat genting menjelang penganjuran Piala Dunia fifa 2026 di rantau itu pada tahun depan.

Walaupun Messi pernah meraih pelbagai kejuaraan di peringkat kelab dan anugerah individu, kejayaan di peringkat antarabangsa hanya diraih selepas memenangi Copa America 2021, sebelum menundukkan Perancis 4-2 menerusi sepakan penalti untuk menjulang Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar.

“Itu adalah impian hidup saya,” kata Messi mengenai kemenangan tersebut.

“Itu juga satu-satunya pencapaian yang belum saya capai di peringkat profesional, kerana saya cukup bertuah untuk meraih segalanya di peringkat individu dan pasukan bersama Barcelona, dan saya fikir itulah impian setiap pemain. Apabila anda bertanya kepada seorang pemain apakah impian mereka, pastinya menjadi juara dunia.”

Messi pernah bermain dalam 195 perlawanan dan menjaringkan 114 gol — rekod tertinggi untuk negaranya. Aksi di Piala Dunia FIFA 2026 akan menandakan penampilan keenamnya dalam kejohanan berprestij itu.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita