Skip to main content

Sukan

Mesir akan bida jadi tuan rumah Sukan Olimpik 2036 dan 2040

Anggaran Waktu Membaca:
Mesir akan bida jadi tuan rumah Sukan Olimpik 2036 dan 2040

Ibu pejabat Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di Lausanne, Switzerland. (Gambar: Fabrice Coffrini/AFP)

PARIS: Mesir akan membida untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Panas 2036 dan 2040, dengan prasarana dan kemudahan sukan negara itu yang semakin baik merupakan faktor utama untuk menjayakan bidaan tersebut.

Demikian menurut ketua persatuan jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Afrika (ANOCA) pada Ahad (11 Ogos).

Benua tersebut tidak pernah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik. Bidaan Kaherah untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2008 tidak berjaya.

Mesir, negara paling ramai penduduk berbanding negara-negara Arab lain, membelanjakan berbilion dolar untuk membina kemudahan, stadium dan kompleks sukan sejak beberapa tahun lalu, dengan tujuan untuk menjadikan negara itu lebih moden.

Kompleks Bandar Olimpik Antarabangsa Mesir merupakan ibu kota pentadbiran baharu negara tersebut, yang dibina sejak 2015 di timur Jaherah.

Ia dijangkakan mempunyai stadium negara dengan 93,900 tempat duduk serta 21 kemudahan sukan lain.

"Mesir akan membida untuk Sukan Olimpik 2036 dan 2040," kata Mustapha Berraf, ketua ANOCA, di sidang media pada hari upacara penutup Sukan Olimpik Paris.

Pentadbir sukan Algeria itu berkata satu lagi bidaan dari negara Afrika mungkin berlaku, dengan bandar Cape Town, Afrika Selatan, mempertimbangkan untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik. Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan tahun yang akan dibida.

"Afrika mempunyai peluang untuk menganjurkan Sukan Olimpik. Kemungkinan besar ia akan menganjurkannya pada 2040," kata Encik Berraf, yang juga anggota Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Los Angeles akan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Panas 2028, manakala Brisbane, Australia, sedang bersiap sedia untuk menganjur Sukan Olimpik 2032.

Beberapa negara dan bandar juga minat untuk menganjur Sukan Olimpik 2036, termasuk Indonesia, India, Turki serta Qatar dan Arab Saudi.

Menurut Presiden IOC, Thomas Bach, Sukan Olimpik 2036 mendapat bidaan dari sekurang-kurangnya lebih 20 negara.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita