Skip to main content

Sukan

‘Menjadi pemain adalah minat saya’: Keisuke Honda sasar rangkul kejuaraan SPL bersama FC Jurong

Beliau mempunyai pelbagai cita-cita, namun buat masa ini, matlamat mantan pemain tengah Jepun dan AC Milan, Keisuke Honda, adalah untuk menjadikan FC Jurong kelab terbaik di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
‘Menjadi pemain adalah minat saya’: Keisuke Honda sasar rangkul kejuaraan SPL bersama FC Jurong

Pemain bola sepak Jepun Keisuke Honda melambai ke arah para penyokong FC Jurong di Stadium Jurong East pada 22 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Wallace Woon)

Diterbitkan : 22 Aug 2026 08:29PM
SINGAPURA: Beliau mempunyai pelbagai cita-cita, namun buat masa ini, matlamat mantan pemain tengah Jepun dan AC Milan, Keisuke Honda, adalah untuk menjadikan FC Jurong kelab terbaik di Singapura.

Bercakap dalam sidang media di Stadium Jurong East pada Sabtu (22 Ogos), di mana beliau diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain terbaharu kelab tersebut, Honda berkata beliau mahu memimpin pasukan itu untuk menjuarai Liga Perdana Singapura (SPL).

"Saya mahu menyertai kelab ini (kerana) baru-baru ini FC Jurong tidak dapat mengalahkan ... (Lion City) Sailors, dan saya rasa kelab ini sepatutnya menjadi kelab nombor satu dalam liga Singapura," kata beliau.

"Menjadi seorang pemain adalah minat saya, itu sahaja ... Saya sentiasa mahu bermain (bola sepak) dan cuba meraih kemenangan di hadapan para penonton. Selain itu, saya mahu menjadi juara, jadi ini peluang yang sangat baik bagi saya."

Pada April, ia diumumkan bahawa pemain tengah tersebut akan beraksi bersama FC Jurong bagi musim SPL 2026/27.

Pernah dikenali sebagai Albirex Niigata Singapore, kelab tersebut sudah menjuarai liga tersebut sebanyak enam kali. Ia menduduki tempat ketiga SPL musim lalu.

"Kami tidak membawa Keisuke ke sini hanya kerana namanya," kata pengerusi kelab Daisuke Korenaga kepada para wartawan. "Apa yang kami mahukan ialah pengalamannya, mentaliti untuk menang, sikap profesional dan yang paling penting, piawaiannya yang tinggi."

Korenaga enggan mendedahkan butiran kontrak Honda apabila ditanya media.

"Kami membawa Keisuke ke sini kerana kami mahu menang dan kami mahu beliau membawa piawaian bertaraf dunia ke kelab kami. Pada masa yang sama, projek ini bukan hanya untuk musim ini," kata beliau.

"Suatu hari nanti Keisuke akan meninggalkan FC Jurong. Tetapi apabila tiba masanya, saya mahu sesuatu kekal di sini – mentaliti, piawaian dan sikap profesionalnya."

"Saya percaya jika kami dapat membina budaya yang baik, iaitu sikap profesional dan piawaian yang tinggi ... kami mempunyai peluang, peluang yang cerah untuk menjadi juara musim ini," tambah Honda.

Honda memulakan kerjayanya bersama kelab Jepun Nagoya Grampus Eight, sebelum beraksi di Belanda bersama VVV-Venlo dan di Rusia bersama CSKA Moscow. Selepas sekitar tiga tahun bersama AC Milan dalam Serie A, beliau kemudian beraksi untuk beberapa kelab di Australia, Brazil dan Portugal, antara lain.

Pemain berusia 39 tahun itu membuat 98 penampilan dan menjaringkan 37 gol untuk Jepun, serta mewakili Samurai Blue dalam tiga edisi Piala Dunia. Honda juga pernah membimbing pasukan Kemboja dari 2018 hingga 2023.

Honda, yang juga merupakan pengasas bersama dan rakan kongsi umum firma pelaburan X&KSK, sudah beberapa kali dilihat berada di Singapura.

Pada lewat tahun lalu, beliau memuat naik beberapa gambar di Instagram yang menunjukkan dirinya berlatih di Our Tampines Hub dan Stadium Jurong East, yang merupakan gelanggang FC Jurong.

"Pekerjaan utama saya sekarang adalah melabur dalam syarikat pemula, terutamanya di Jepun serta Amerika Syarikat dan negara-negara lain," kata Honda. "Saya perlu kerap berulang-alik antara Jepun dengan Singapura, tetapi saya berada di sini lebih daripada setengah tahun setiap tahun."

Honda, yang sebelum ini menyatakan minat untuk menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan Jepun, mengulangi hasrat tersebut pada Sabtu.

"Semua rakyat Jepun tahu saya mahu menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan Jepun, tetapi saya perlu menimba lebih banyak pengalaman," kata beliau.

"Saya hanya mahu memberi tumpuan kepada FC Jurong musim ini dan selepas itu, saya terbuka kepada sebarang peluang. Namun, saya amat berminat untuk melatih sebuah pasukan kebangsaan."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita