Skip to main content

Sukan

Menentang ASEAN All-Stars bukan sekadar perlawanan persahabatan, kata pengurus Man Utd

Ketua jurulatih Manchester United Ruben Amorim menegaskan skuad The Red Devils memandang serius terhadap perlawanan menentang pasukan ASEAN All-Stars dalam saingan Piala Cabaran Maybank di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu malam (28 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Menentang ASEAN All-Stars bukan sekadar perlawanan persahabatan, kata pengurus Man Utd
Diterbitkan : 27 May 2025 07:37PM Dikemas Kini : 27 May 2025 07:42PM
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Manchester United Ruben Amorim menegaskan skuad The Red Devils memandang serius terhadap perlawanan menentang pasukan ASEAN All-Stars dalam saingan Piala Cabaran Maybank di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu malam (28 Mei).

Pengurus Manchester United itu berkata setiap perlawanan melibatkan kelab Liga Perdana England (EPL) itu dianggap penting tanpa mengira status perlawanan atau lawan yang dihadapi.

“Kami masih banyak yang perlu diperbaiki. Jadi, setiap perlawanan akan dimanfaatkan untuk memperkukuh pasukan. Hampir keseluruhan skuad berada di sini kecuali Mazraoui (Noussair Mazraoui) yang mengalami kecederaan Ahad lalu.

“Kami juga membawa beberapa pemain muda untuk mereka faham erti sebenar menyarung jersi Manchester United. Jadi, perlawanan ini amat penting buat kami,” katanya semasa sidang media praperlawanan di hotel penginapan pasukan itu pada Selasa (27 Mei).

Pada masa yang sama, Amorim turut melahirkan penghargaan atas sambutan hangat yang diterima pasukannya sebaik tiba di Malaysia serta sokongan padu penyokong walaupun pasukan tersebut sedang melalui musim yang sukar.

Beliau berkata kekuatan jaringan penyokong di seluruh dunia menjadikan United sebagai antara kelab terbaik dunia.

“Hubungan dengan penyokong sangat penting. Itu yang menjadikan kelab ini cukup istimewa. Jadi, kami amat gembira berada di sini,” katanya.

Sementara itu, pemain tengah United, Mason Mount berkata seluruh pasukan berasa teruja dengan sambutan hangat yang diberikan oleh para penyokong.

“Ia satu perjalanan yang singkat selepas perlawanan menentang Aston Villa, tapi kami semua teruja berada di sini. Kami jarang berpeluang ke bahagian dunia ini dan bertemu peminat di sini, jadi kami mahu memanfaatkan peluang ini sebaiknya.

“Sebaik keluar dari pesawat, beratus-ratus peminat menunggu untuk bergambar dan menyambut ketibaan kami. Kami tidak sabar turun padang untuk beraksi esok,” kata pemain berusia 26 tahun itu.

Kali terakhir Manchester United beraksi di Malaysia ialah pada jelajah pramusim 2009 dengan mencatat dua kemenangan ke atas Malaysia XI, masing-masing 3-2 dan 2-0 pada 18 dan 20 Julai di Stadium Nasional.

Skuad 13 kali juara EPL itu yang menamatkan musim ini di tangga ke-15 dengan 42 mata juga dijadual meneruskan jelajah pramusim ke Hong Kong untuk menentang pasukan wilayah tersebut pada 30 Mei ini di Stadium Hong Kong.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita