Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Mediacorp, Singtel, StarHub bakal siar perlawanan Piala Dunia; pakej bermula dengan harga S$98

Anggaran Waktu Membaca:
Mediacorp, Singtel, StarHub bakal siar perlawanan Piala Dunia; pakej bermula dengan harga S$98

Gambar: Gabriel Bouys/AFP

Diterbitkan : 30 Oct 2022 02:33PM Dikemas Kini : 30 Oct 2022 04:52PM

SINGAPURA: Para peminat dan penyokong bola sepak perlu membayar sekurang-kurangnya S$98 untuk menonton kesemua perlawanan Piala Dunia FIFA 2022 secara langsung atau melalui khidmat atas permintaan.

Mediacorp, StarHub dan Singtel akan menawarkan liputan kesemua 64 permainan di beberapa platform, menurut syarikat-syarikat tersebut dalam kenyataan media bersama pada Ahad (30 Okt).

Mediacorp akan menyiarkan sembilan perlawanan secara percuma melalui Saluran 5 dengan siaran serentak menerusi wadah penstriman meWATCH.

Ia meliputi perlawanan pembukaan, lima perlawanan peringkat kumpulan, dua perlawanan separuh akhir dan perlawanan akhir.

Berikut adalah sembilan perlawanan Piala Dunia yang akan disiarkan secara percuma di Saluran 5. Waktu tertera adalah waktu Singapura:

  1. 21 Nov - 12.00 tgh mlm - Perlawanan pembukaan (Qatar lwn Ecuador)
  2. 25 Nov - 12.00 tgh mlm - Perlawanan peringkat kumpulan (Portugal lwn Ghana)
  3. 26 Nov - 12.00 tgh mlm - Perlawanan peringkat kumpulan (Belanda lwn Ecuador)
  4. 27 Nov - 3.00 pagi - Perlawanan peringkat kumpulan (Argentina lwn Mexico)
  5. 30 Nov - 11.00 mlm - Perlawanan peringkat kumpulan (Tunisia lwn Perancis)
  6. 2 Dis - 11.00 mlm - Perlawanan peringkat kumpulan (Ghana lwn Uruguay)
  7. 14 Dis - 3.00 pagi - Perlawanan separuh akhir
  8. 15 Dis - 3.00 pagi - Perlawanan separuh akhir
  9. 18 Dis - 11.00 mlm - Perlawanan akhir

Sedutan kesemua 64 perlawanan juga akan disediakan secara percuma di laman meWATCH.

Para pengguna yang melanggani pakej Piala Dunia sebelum 6 Nov perlu membayar S$98. Harga biasa pakej itu adalah S$118.

Ini merupakan kali kedua ketiga-tiga syarikat tersebut bekerjasama untuk menyiarkan perlawanan Piala Dunia menyusuli edisi 2018 di Rusia.

Kejohanan tahun ini, yang akan berlangsung di Qatar antara 20 Nov hingga 18 Dis bakal menampilkan 32 pasukan, termasuk jumlah rekod enam pasukan yang mewakili negara-negara Asia. Antara negara yang bakal beraksi ialah Qatar, Australia, Iran, Jepun, Arab Saudi dan Korea Selatan.

Perlawanan-perlawanan akan dimainkan di lapan stadium di lima bandar Qatar, termasuk Stadium Al Bayt di Al Khor, yang akan menjadi tuan rumah perlawanan pembukaan antara Qatar dengan Ecuador pada 21 Nov.

"Para penonton juga boleh menyaksikan program-program dan rancangan-rancangan menarik dari studio, lengkap dengan kehadiran tetamu undangan, penyampai dan para pengamat popular seperti Marcel Desailly, Arsene Wenger, Lothar Matthaus, Gabriel Batistuta, Paul Scholes dan ramai lagi," menurut ketiga-tiga syarikat tersebut.

Ketua Pegawai Pembangunan Pelanggan dan Korporat Mediacorp Angeline Poh berkata syarikat itu "berbesar hati dapat berganding bahu dengan Singtel dan StarHub sekali lagi untuk mempersembahkan kejohanan yang mendebarkan itu, yang turut mengesahkan komitmen Mediacorp sebagai rangkaian media nasional dalam menyatukan masyarakat-masyarakat tempatan menerusi pelbagai kandungan sukan yang popular".

"Kami berharap liputan kami bagi acara terbesar dalam bola sepak antarabangsa akan mencetuskan perbualan dan mewujudkan ruang bersama untuk para peminat merapatkan ikatan keluarga, rakan-rakan dan sesama jiran tetangga."

Ketua Kumpulan Perniagaan Pengguna StarHub Johan Buse menambah "bola sepak adalah bahasa universal, dan tiada perkara yang lebih baik selain Piala Dunia yang mendorong para penonton untuk menjadi antara peminat yang paling ghairah".

"Memandangkan Piala Dunia tahun ini diadakan di Qatar, kami percaya perbezaan waktu yang menggalakkan bagi para penonton di sini akan dapat menghimpunkan lebih ramai peminat bola sepak untuk berkongsi debarannya," kata Ketua Pegawai Eksekutif Singtel bagi Pengguna Singapura, Anna Yip.

Sumber : CNA/ZM/zm

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa