Mediacorp akan tawar semua 104 perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 bermula pada harga S$98
Lionel Messi dari Argentina mengangkat trofi Piala Dunia selepas kemenangan pasukannya ke atas Perancis dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2022 di Stadium Lusail di Qatar pada 18 Disember 2022. (Gambar fail: AP/Martin Meissner)
Demikian diumumkan oleh Mediacorp pada Khamis (2 Apr).
Harga langganan awal boleh didapati dari sekarang sehingga 30 April. Selepas itu, harga langganan standard sebanyak S$118 akan dikenakan.
Kedua-dua harga tersebut tidak berubah daripada kejohanan tahun 2022.
Langganan juga boleh didapati melalui rakan penyedia rangkaian Mediacorp iaitu Singtel dan StarHub.
"Piala Dunia FIFA 2026 adalah edisi yang paling luas setakat ini, menampilkan rekod 48 pasukan dan 104 perlawanan. Ini peningkatan besar sebanyak 40 perlawanan berbanding 64 perlawanan yang dimainkan pada 2022," menurut Mediacorp.
"Dianjurkan bersama di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat dari 12 Jun hingga 20 Julai 2026, kejohanan ini menawarkan kepada pelanggan lebih banyak aksi langsung berbanding sebelum ini untuk pelaburan yang sama.
"Pelanggan akan dapat melakukan penstriman perlawanan pada peranti sedia ada seperti TV pintar, tablet dan telefon pintar melalui mewatch. Pengaktifan langganan adalah serta-merta, dan langganan adalah tanpa kontrak.
"Lebih banyak perlawanan, harga yang sama - kami rasa itu adalah perkara yang betul untuk dilakukan buat peminat bola sepak di Singapura," kata ketua pegawai pelanggan Mediacorp, Angeline Poh.
"Dengan pengaktifan serta-merta mewatch dan fleksibiliti tanpa kontrak, kesemua 104 perlawanan hanya di hujung jari - tempat duduk terbaik di dalam rumah, di mana sahaja anda berada. Adalah menjadi penghormatan bagi kami untuk membawakan kejohanan ini kepada peminat di seluruh Singapura, dan kami tidak sabar untuk merasai setiap detik bersama-sama."
Mediacorp Menyatakan pada 5 Februari bahawa pihaknya sudah memperoleh hak eksklusif untuk kejohanan tersebut, dan akan menyediakan liputan percuma bagi 28 daripada 104 perlawanan kejohanan di Saluran 5 dan mewatch.
Ini merupakan peningkatan daripada sembilan perlawanan yang diliputi secara percuma pada Piala Dunia 2022.
Sebanyak 28 perlawanan tersebut merangkumi perlawanan pembukaan, 23 perlawanan peringkat kumpulan yang lain, kedua-dua separuh akhir, penentuan tempat ketiga dan perlawanan akhir.
Argentina akan memasuki kejohanan sebagai juara bertahan, selepas menewaskan Perancis dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2022.
Selain daripada kejohanan tahun ini, Mediacorp juga akan meliput kesemua 64 perlawanan dan upacara Piala Dunia Wanita FIFA 2027, serta rangkaian acara tambahan FIFA yang berlangsung antara 2026 dan 2028, termasuk Piala Dunia B-17 FIFA, Piala Dunia B-20 FIFA, Piala Dunia Wanita B-17 FIFA dan Piala Dunia Wanita B-20 FIFA.
Penonton Mediacorp juga boleh terus menonton senarai detik-detik terhebat bola sepak yang disusun melalui FIFA+, sebuah saluran percuma di mewatch.
Menampilkan aturcara sepanjang 24/7, saluran tersebut memaparkan perlawanan klasik berdurasi penuh, sorotan terpilih, paparan pendek dan kompilasi "terbaik", serta pilihan tajuk dan dokumentari FIFA+.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.