Skip to main content

Sukan

Mediacorp akan siarkan secara percuma 28 perlawanan Piala Dunia FIFA 2026

Para peminat bola sepak di Singapura boleh menonton 28 perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 secara percuma, menurut Mediacorp pada Khamis (5 Feb), setelah rangkaian media nasional itu memperoleh hak kepada kejohanan tersebut.
 
Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Feb 2026 02:54PM Dikemas Kini : 15 Feb 2026 11:17AM
SINGAPURA: Para peminat bola sepak di Singapura boleh menonton 28 perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 secara percuma, menurut Mediacorp pada Khamis (5 Feb), setelah rangkaian media nasional itu memperoleh hak kepada kejohanan tersebut.

Kesemua 104 perlawanan dan upacara rasmi Piala Dunia FIFA 2026 akan disediakan kepada para pelanggan platform digital mewatch Mediacorp dan platform 'carriage partner', menurut Mediacorp dalam satu kenyataan media.

Selain tawaran langganannya, Mediacorp juga bakan memperluaskan liputan percuma bagi perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 di mewatch dan Saluran 5 daripada sembilan perlawanan semasa Piala Dunia FIFA 2022 kepada 28 perlawanan tahun ini, yang terdiri daripada perlawanan pembukaan, 23 perlawanan peringkat kumpulan, kedua-dua perlawanan separuh akhir, perlawanan bagi menentukan tempat ketiga dan perlawanan akhir.

Piala Dunia FIFA 2026 yang dihoskan bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, akan menampilkan sebanyak 48 pasukan yang akan mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.

Berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Jul, tempoh kejohanan kali ini dilanjutkan kepada 39 hari, dengan keseluruhan jumlah perlawanan meningkat daripada 64 dalam edisi sebelumnya kepada 104 pada kali ini.

Argentina merupakan juara bertahan setelah menewaskan Perancis dalam perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2022.

Selain kejohanan pada tahun ini, Mediacorp juga akan menawarkan liputan bagi kesemua 64 perlawanan dan upacara dalam Piala Dunia Wanita FIFA 2027, serta pelbagai acara tambahan FIFA yang berlangsung antara 2026 dengan 2028, temasuk Piala Dunia FIFA Bawah 17 Tahun, Piala Dunia FIFA Bawah 20 Tahun, Piala Dunia Wanita FIFA Bawah 17 Tahun, dan Piala Dunia Wanita FIFA Bawah 20 Tahun.

Para penonton Mediacorp juga boleh menyaksikan sedutan detik-detik hebat bola sepak melalui FIFA+, iaitu sebuah saluran percuma di mewatch.

Dengan pengaturcaraan sepanjang 24 jam, saluran itu akan menampilkan perlawanan-perlawanan klasik, sorotan perlawanan tertentu dan kompilasi detik-detik "terbaik" FIFA+ dan dokumentari.

"Bola sepak mempunyai keupayaan unik untuk menyatukan masyarakat, memberi inspirasi kepada individu dan Mediacorp berbangga dapat menawarkan liputan acara-acara FIFA dari 2026 hingga 2028," kata Ketua Pegawai Pelanggan Mediacorp, Angeline Poh.

"Daripada tiupan wisel perlawanan pembukaan hinggalah ke puncak kejohanan, kami berharap dapat membawa setiap detik penting kepada para peminat di seluruh Singapura, memupuk pengalaman bersama dan mencipta kenangan abadi untuk rakan-rakan dan keluarga."

Lebih banyak butiran mengenai 'carriage partners', pelan langganan dan harga akan menyusul.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita