Skip to main content

Sukan

Mbappe mohon maaf selepas komen Mao Zedong cetus kontroversi

Anggaran Waktu Membaca:
Mbappe mohon maaf selepas komen Mao Zedong cetus kontroversi

Botol minuman elektrolit keluaran Dongpeng Beverage Group yang memaparkan imej bintang bola sepak Perancis Kylian Mbappé dijual di sebuah pasar raya di Beijing pada 27 Oktober 2026. (Gambar: AP/Andy Wong)

Diterbitkan : 28 Oct 2026 08:47AM Dikemas Kini : 28 Oct 2026 08:54AM
Mbappe apologises after Mao Zedong comments spark controversy
  • Kylian Mbappé apologised on Tuesday, 27 October, after a video on X about a meme comparing his face to Mao Zedong’s drew condemnation in China and among Chinese communities around the world.
  • He acknowledged that his words had been ill-considered, had offended many people and were not intended to insult anyone; he also expressed respect for the Chinese people and China’s history.
  • Dongpeng, Mengniu and Milkground subsequently announced the end of their commercial partnerships with him, while RedNote halted promotional material and blocked his account from gaining new followers, although its content partnership with him ended on 31 December 2024.
  • Spokesperson Guo Jiakun said that actions offending the Chinese people would be opposed, while Weibo users called for a boycott; the measures came after Mbappé had previously featured in campaigns for beverage, milk and cheese products in China.
Dijana oleh AI
BEIJING: Bintang bola sepak Perancis Kylian Mbappé memohon maaf selepas kenyataannya yang dipercayai merujuk kepada Mao Zedong, pengasas Republik Rakyat China, mencetuskan kecaman dan mendorong beberapa syarikat China menamatkan kerjasama dengannya.

Dalam kenyataannya pada Selasa (27 Okt), Mbappé mengakui kata-katanya dibuat tanpa pertimbangan sewajarnya dan menyinggung perasaan ramai pihak.

“Kenyataan saya itu tidak dibuat dengan pertimbangan yang sewajarnya dan kini saya memahami bahawa ia telah menyinggung perasaan ramai individu di China serta masyarakat China di seluruh dunia.

“Saya memohon maaf kepada semua yang tersinggung dengan kata-kata saya. Itu bukan niat saya. Saya amat menghormati rakyat China dan sejarah mereka, dan saya benar-benar kesal,” katanya.

Kontroversi itu tercetus selepas satu rakaman video yang memaparkan Mbappé menjawab soalan mengenai 'meme' kegemarannya tersebar di platform X.

Dalam rakaman tersebut, Mbappé merujuk kepada sebuah video yang menyunting wajahnya pada tubuh Mao Zedong dan menyifatkan individu berkenaan sebagai “diktator China”.

Mbappé sering menjadi bahan 'meme' dalam kalangan peminat bola sepak di media sosial, dengan beliau digambarkan sebagai pemimpin autoritarian kerana pengaruh besarnya dalam pasukan yang diwakilinya.

'Meme' yang menyamakan beliau dengan Mao atau pemimpin autokratik lain turut tersebar luas.

Menyusuli kontroversi itu, beberapa syarikat terkemuka di China mengumumkan penamatan kerjasama komersial dengan pemain berusia 27 tahun itu.

Pengeluar minuman Dongpeng, syarikat tenusu Mengniu dan pengeluar keju Milkground menyatakan mereka menentang sebarang “kata-kata atau tindakan yang menyinggung perasaan rakyat China”, sebelum mengumumkan penamatan kerjasama dengan Mbappé.

Walaupun syarikat-syarikat tersebut tidak menyatakan secara langsung bahawa keputusan itu berpunca daripada kenyataan Mbappé, pengumuman berkenaan dibuat selepas video tersebut mendapat perhatian meluas.

Jurucakap Kementerian Luar China Guo Jiakun berkata sebarang kata-kata atau tindakan yang menyinggung perasaan rakyat China akan mendapat tentangan daripada pelbagai lapisan masyarakat negara itu.

Platform media sosial RedNote turut mengumumkan penamatan bahan promosi berkaitan Mbappé.

Menurut syarikat itu, kerjasama kandungannya dengan pemain tersebut sebenarnya sudah berakhir pada 31 Disember 2024, namun ia tetap menegaskan pendiriannya menolak sebarang tindakan yang menyinggung sentimen nasional.

Pada hari yang sama, akaun Mbappé di RedNote turut disekat daripada menerima pengikut baharu.

Mbappé sebelum ini menjadi wajah beberapa kempen pengiklanan di China, termasuk bagi produk minuman elektrolit, susu dan keju.

Dalam sebuah iklan Dongpeng, beliau menyampaikan slogan dalam Bahasa Mandarin, manakala bagi kempen Mengniu, beliau tampil bersama legenda bola sepak Argentina Lionel Messi.

Kontroversi itu turut mencetuskan reaksi negatif di media sosial China. Tanda pagar berkaitan keputusan beberapa jenama utama menamatkan kerjasama dengan Mbappé menjadi antara topik hangat di Weibo.

Sebahagian pengguna turut menggesa supaya pemain itu diboikot, selain menyuarakan kemarahan terhadap kenyataannya.
 
Sumber : AGENCIES/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita