Man Utd akan pecat Mourinho jika jual Pogba
Manchester United sedia mencari pengganti Jose Mourinho jika beliau menjual Paul Pogba, kata bekas pemain tengah di Liga Perdana Inggeris, Jermaine Jenas.
Jose Mourinho. (Gambar: Reuters/ Toby Melville)
LONDON: Manchester United sedia mencari pengganti Jose Mourinho jika beliau menjual Paul Pogba, kata bekas pemain tengah di Liga Perdana Inggeris, Jermaine Jenas.
Laman Utusan Online melaporkan, Mourinho pada Jumaat (17 Ogos) cuba menutup khabar angin berhubung persengketaan melibatkan dirinya dengan bintang Perancis itu, dengan mengatakan beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan Pogba, dan mendakwa begitu gembira di samping pemain tersebut.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Pogba mendakwa beliau tidak boleh mengeluarkan sebarang komen tentang pengurusnya, Mourinho kerana khuatir dikenakan denda setelah tamat perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris minggu lalu.
Persengketaan tersebut menyaksikan Pogba dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona, yang masih boleh dilakukan memandangkan jendela perpindahan Sepanyol dibuka sehingga akhir bulan ini, tambah Utusan Online.
Bagaimanapun, pengulas BT Sport, Jenas berkata, beliau tidak nampak bekas pemain tengah Juventus itu akan memberi kesan kepada United jika meninggalkan Old Trafford pada musim panas ini, sebaliknya kedudukan Mourinho lebih tergugat.
“Saya hanya boleh lihat satu laluan sahaja sekarang, tetapi malangnya saya tidak rasa ia akan bergerak mengikut laluan Mourinho.
“Saya fikir mereka akan (menyingkirkan Mourinho) kerana sebagai kelab ia lebih masuk akal untuk melakukannya.
“Pemain sangat berkuasa pada hari ini dan United telah berbelanja besar untuk memastikan Paul Pogba datang ke Old Trafford, malah jumlah besar telah dilabur untuk membina skuad selain Pogba, hakikatnya mereka datang untuk mengukuhkan pasukan.
“Mereka (United) mampu menggantikan Mourinho dengan pengurus yang lebih bagus, terdapat ramai di luar sana yang sesuai untuk menduduki posisinya,” kata Jenas yang juga bekas pemain Tottenham Hotspur kepada Express Sport dan ditukil Utusan Online.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.