Skip to main content

Sukan

Man City mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah

Manchester City melangkah ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah selepas jaringan awal Kevin De Bruyne dan Ilkay Gundogan menewaskan Borussia Moenchengladbach 2-0 di Budapest dan 4-0 secara agregat.

Anggaran Waktu Membaca:
Man City mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 17 Mar 2021 08:32AM Dikemas Kini : 17 Mar 2021 08:46AM

BUDAPEST: Manchester City melangkah ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah selepas jaringan awal Kevin De Bruyne dan Ilkay Gundogan menewaskan Borussia Moenchengladbach 2-0 di Budapest dan 4-0 secara agregat.

Liga Juara-Juara Eropah adalah satu-satunya trofi yang belum dijulang Pep Guardiola sepanjang lima tahun menjadi pengurus Manchester City dan pasukan pimpinannya itu belum pernah menjangkaui peringkat suku akhir pertandingan tersebut.

Namun pendahulu Liga Perdana England (EPL) itu kini berpeluang untuk mengakhiri kemarau itu pada bulan depan selepas mempamerkan prestasi hebat di ibu kota Hungary itu.

De Bruyne dan Gundogan adalah antara pemain utama yang direhatkan ketika City menewaskan Fulham 3-0 dalam perlawanan Liga Perdana England pada Sabtu lalu dan City kelihatan lebih bertenaga untuk mencatatkan kemenangannya yang ke-24 dalam 25 perlawanan terakhir mereka.

Selepas percubaan Phil Foden pada minit keenam berjaya diselamatkan oleh Yann Sommer, De Bruyne bertindak cemerlang untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-12.

Enam minit kemudian, umpanan Foden disambar oleh Gundogan yang menjaringkan gol kedua City, sekali gus jaringannya yang ke-15 bagi musim ini.

Kelab Jerman itu mengalami tujuh kekalahan sejak pengurusnya Marco Rose mengumumkan bahawa beliau akan meninggalkan kelab tersebut pada hujung musim ini untuk mengambil alih tugas sebagai pengurus baru Borussia Dortmund.

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita