Skip to main content

Sukan

Man City kemuka rayuan terhadap keputusan pelanggaran peraturan kewangan Liga Perdana England

Manchester City mengemukakan rayuan terhadap keputusan sebuah suruhanjaya bebas yang mendapati kelab tersebut bersalah atas pelanggaran serius peraturan kewangan Liga Perdana England (EPL), dalam usahanya membatalkan keputusan tersebut dan mengelakkan kemungkinan dikenakan hukuman berat.

Anggaran Waktu Membaca:
Man City kemuka rayuan terhadap keputusan pelanggaran peraturan kewangan Liga Perdana England

Pemandangan di dalam Stadium Etihad sebelum perlawanan Liga Juara-Juara UEFA antara Manchester City dengan Borussia Dortmund di Manchester, Britain, pada 5 November 2025. (Gambar: REUTERS/Phil Noble)

Diterbitkan : 03 Oct 2026 12:05PM
Man City appeals against decision over breaches of English Premier League financial rules
  • Manchester City is appealing against a decision by an independent EPL commission that found the club had breached financial rules from 2009-10 to 2017-18 and had failed to cooperate in the investigation.
  • The club denied wrongdoing and said the decision was flawed in law, principle and fact, as it faced possible fines, points deductions or other sporting sanctions.
  • The appeal filed on Oct 1, 2026 will be heard in private by an independent panel, under new rules that set timelines for the hearing and the decision.
  • The FA, HMRC and sports lawyers are monitoring the case because of its implications for the integrity of football, tax, possible compensation claims and City's ongoing season.
Dijana oleh AI
MANCHESTER: Manchester City mengemukakan rayuan terhadap keputusan sebuah suruhanjaya bebas yang mendapati kelab tersebut bersalah atas pelanggaran serius peraturan kewangan Liga Perdana England (EPL), dalam usahanya membatalkan keputusan tersebut dan mengelakkan kemungkinan dikenakan hukuman berat.

Liga tersebut menyatakan pada Selasa bahawa City menggunakan kontrak komersial "palsu" sebagai sebahagian daripada aturan untuk meningkatkan jumlah pendapatan yang dilaporkan dan mengurangkan kos sebanyak lebih £900 juta (S$1.52 bilion) dalam tempoh hampir sedekad.

City didapati bersalah atas semua tuduhan berkaitan pelanggaran peraturan kewangan liga sepanjang sembilan musim dari 2009-10 hingga 2017-18, selain tiga daripada empat tuduhan berkaitan kegagalan memberi kerjasama dalam siasatan yang dijalankan.

Kelab tersebut, yang diberi tempoh sehingga hujung Jumaat untuk membuat rayuan, menafikan sebarang salah laku sepanjang proses tersebut.

Dengan kemungkinan hukuman termasuk denda besar, pemotongan mata dan hukuman lain berkaitan sukan, selain penyingkiran daripada liga atau pelucutan kejuaraan yang turut dibincangkan, kes tersebut boleh meninggalkan kesan kepada seluruh liga.

"Manchester City Football Club mengesahkan bahawa pada pukul 7.00 malam Khamis, 1 Oktober 2026, kelab telah mengemukakan rayuan menyeluruh terhadap keputusan Suruhanjaya Liga Perdana, berhubung perkara disiplin Liga Perdana," menurut kelab tersebut dalam satu kenyataan.

"Pendirian tegas kelab adalah keputusan tersebut mengandungi kesilapan material yang jelas dari segi undang-undang, prinsip dan fakta atas pelbagai alasan, dan tidak boleh dianggap sebagai keputusan yang kukuh.

"Kelab tidak bersalah atas tuduhan yang dibuat Liga Perdana dan terdapat bukti kukuh yang tidak dapat disangkal bagi menyokong semua pendiriannya berhubung kes ini."

Rayuan tersebut akan didengarkan sebuah panel bebas tiga anggota yang dilantik pengerusi panel kehakiman liga berkenaan.

"Kelab telah mengemukakan rayuan kepada Pengerusi Panel Kehakiman," menurut liga tersebut dalam satu kenyataan. "Pendengaran Lembaga Rayuan bebas akan kekal tertutup dan dirahsiakan sehingga keputusan dibenarkan untuk diterbitkan."

Peraturan baharu Liga Perdana bagi mempercepat proses menetapkan bahawa pendengaran rayuan perlu diadakan dalam tempoh 12 minggu selepas rayuan dikemukakan, dengan keputusan perlu dibuat dalam tempoh 30 hari selepas pendengaran selesai.

Sebilangan pengulas undang-undang menjangka City akan berhujah bahawa peraturan tersebut belum wujud ketika kelab tersebut pada asalnya dikenakan tuduhan pada Februari 2023.

RAYUAN DIDENGARKAN SECARA TERTUTUP

Rayuan City akan didengarkan secara tertutup, seperti pendengaran asal. Panel tersebut akan menyemak keputusan suruhanjaya, tetapi tidak akan mendengarkan semula keseluruhan kes.

Panel tersebut boleh menolak atau menerima rayuan, merujuk semula kes kepada suruhanjaya untuk pertimbangan lanjut atau mengubah sebarang hukuman atau perintah pampasan yang dikenakan.

Keputusan panel rayuan adalah muktamad dan tidak boleh dicabar lagi kecuali dalam keadaan tertentu yang membolehkan proses timbang tara selanjutnya.

City juga boleh membuat rayuan berasingan terhadap sebarang hukuman yang dikenakan.

Ia masih belum jelas sama ada hukuman akan diumumkan sebelum rayuan didengarkan dan sama ada ia akan berkuat kuasa serta-merta.

Seorang wakil liga memberitahu Reuters bahawa pihaknya tidak dapat membincangkan proses tersebut atas sebab kerahsiaan.

Dengan keputusan muktamad kes tersebut masih belum diketahui, musim pertandingan akan diteruskan, dengan pendahulu liga City memburu kemenangan liga keenam berturut-turut apabila kelab bola sepak tersebut bertandang ke Liverpool pada 11 Oktober.

KESAN LEBIH MELUAS

Dalam kenyataan awam pertamanya sejak keputusan suruhanjaya diumumkan, Persatuan Bola Sepak England (FA) menyatakan pada Jumaat bahawa pihaknya sedang memantau kes tersebut dengan teliti.

"Keputusan Suruhanjaya Bebas mempunyai implikasi besar terhadap integriti sukan ini," menurut FA dalam satu kenyataan.

"Kami sedang meneliti keputusan tersebut serta kesannya dengan teliti dan akan mengambil tindakan sewajarnya."

Kesan yang dihadapi City mungkin melangkaui arena bola sepak.

Pada Khamis, Pengerusi Jawatankuasa Perbendaharaan Parlimen Meg Hillier meminta pihak berkuasa cukai Britain, HMRC, menjelaskan tindakan yang diambil susulan dapatan suruhanjaya tersebut.

Cik Hillier berkata beliau sudah menulis surat kepada Setiausaha Tetap HMRC JP Marks menyusuli penerbitan keputusan suruhanjaya bebas pada Selasa yang mendapati kelab tersebut melakukan "lebih 100 pelanggaran individu terhadap Peraturan Liga Perdana sepanjang beberapa musim".

Sebilangan peguam sukan meramalkan pertikaian undang-undang mungkin berlarutan selama bertahun-tahun sedang kelab-kelab pesaing, pemain dan ejen menilai sama ada mereka mempunyai asas untuk menuntut pampasan berkaitan kes tersebut.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita