Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Man City diharamkan sertai pertandingan UEFA selama 2 musim

 Juara bertahan Liga Perdana England (EPL) Manchester City diharamkan daripada pertandingan bola sepak Eropah selama dua musim dan didenda AS$32.53 juta (S$45.28 juta) oleh badan pentadbir bola sepak Eropah (UEFA).

Anggaran Waktu Membaca:
Man City diharamkan sertai pertandingan UEFA selama 2 musim

Manchester City terkejut setelah diharamkan daripada perlawanan UEFA. (Gambar: Anthony Devlin/AFP)

Diterbitkan : 15 Feb 2020 10:18AM Dikemas Kini : 15 Feb 2020 10:21AM

MANCHESTER, ENGLAND: Juara bertahan Liga Perdana England (EPL) Manchester City diharamkan daripada pertandingan bola sepak Eropah selama dua musim dan didenda AS$32.53 juta (S$45.28 juta) oleh badan pentadbir bola sepak Eropah (UEFA) selepas siasatan yang dijalankan mendapati kelab tersebut melanggar peraturan Keadilan Kewangan (FFP).

Dalam kenyataannya, UEFA mengumumkan bahawa City sudah melakukan 'kesalahan-kesalahan yang serius' dan kelab EPL itu dengan pantas mengisytiharkan di lamannya bahawa ia akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan UEFA itu kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang berpangkalan di Lausanne.

Jika keputusan UEFA itu ditegakkan, pasukan pimpinan Pep Guardiola tidak akan dibenarkan bertanding dalam Liga Juara-Juara Eropah jika pasukan tersebut sekali lagi melayakkan diri untuk bertanding dalam kejohanan yang berprestij itu.

City juga akan diharamkan daripada pertandingan peringkat Eropah bagi musim 2021-2022.

Empat pasukan teratas dalam EPL secara automatik melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah dan buat masa ini City menduduki tangga kedua dan jika pengharaman itu dikuatkuasakan, pasukan yang menduduki tangga kelima EPL akan melayakkan diri ke pertandingan tersebut.

Ketiadaan City dalam pertandingan berprestij itu akan menjejas hasil pendapatan kelab tersebut dengan begitu ketara sekali.

Liverpool memperolehi 111 juta euro (S$167.3 juta) daripada UEFA setelah menjuarai pertandingan musim lalu.

Dalam satu perkembangan yang berasingan, Liga Perdana England (EPL) menyatakan pada Mac lalu bahawa ia juga sudah melancarkan siasatan terhadap City selepas UEFA mengumumkan tindakan yang serupa.

FFP bermatlamat untuk mencegah kelab-kelab bola sepak di Eropah daripada menerima sumbangan dana tanpa batas melalui tajaan daripada pertubuhan-pertubuhan yang ada kaitan dengan pemilik sesebuah kelab bola sepak.

Abu Dhabi United Group, cabang pelaburan milik Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan adalah pemilik utama City Football Group, dengan pegangan saham sekitar 77%.

Selain Man City, City Football Group turut memiliki sepenuhnya atau sebahagian daripada New York City FC, Melbourne City FC, Yokohama F Marinos di Jepun, Club Atletico Torque dari Uruguay, Girona FC dari Sepanyol dan Sichuan Jiuniu FC di China. 

Sumber : Reuters/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan