Malaysia menang tipis 2-1 terhadap Singapura
Ketua jurulatih sementara Gavin Lee berdepan cabaran pertama dalam perlawanan pertamanya mengendalikan pasukan bola sepak lelaki Singapura setelah mereka kalah 2-1 kepada Malaysia dalam perlawanan persahabatan di Stadium Bukit Jalil pada lewat petang Khamis (4 Sep).
Stuart Wilkin meraikan kemenangan bersama rakan-rakan pasukan Nazmi Faiz dan Joao Figueiredo selepas perlawanan persahabatan dengan Singapura di Stadium Bukit Jalil pada 4 Sep 2025. (Imej: Facebook/Harimau Malaya)
Pasukan tuan rumah memberi tekanan bertubi-tubi dan pantas kepada pasukan pelawat, berkemungkinan didorong oleh para penyokong dalam stadium dan momentum selepas meraih kemenangan ke atas Vietnam 4-0 dalam pusingan kelayakan Piala Asia pada Jun lalu.
Pemain sayap Malaysia Arif Aiman hampir membuka tirai jaringan pada minit kelima, namun rembatan beliau dalam kotak penalti ditepis penjaga gol pasukan Singa, Mohamad Izwan Mahbud, yang sekali lagi cemerlang menafikan percubaan jarak dekat Stuart Wilkin empat minit kemudian.
Menjelang minit ke-15, Malaysia memperoleh sudut ketiga perlawanan itu, dengan dua kad kuning dilayangkan kepada pasukan Singa.
Pasukan Malaysia berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-26 selepas Wilkin menyudahkan hantaran lambung Endrick dos Santos dengan rembatan kencang dari jarak dekat untuk menewaskan Mohamad Izwan.
Persembahan bertenaga Malaysia pada babak pertama turut menyerlahkan gandingan serangan Joao Figueiredo dan Endrick yang menjadi tumpuan, seperti dilapor Astro Awani.
Memasuki babak kedua, pasukan Malaysia menambah gol apabila hantaran lintang Wilkin dari sebelah kanan mudah disudahkan Figueiredo pada minit ke-55.
Singapura, yang lebih tersusun selepas melakukan pertukaran pemain, berjaya merapatkan kedudukan menerusi penyerang gantian Ilhan Fandi, yang melepaskan rembatan cantik dari luar kotak penalti untuk menewaskan Muhammad Haziq Nadzli pada minit ke-72.
Tersentak dengan jaringan itu, Malaysia kembali menggandakan asakan dengan peluang terbaik hadir pada minit ke-81 apabila penyerang gantian Romel Morales melepaskan rembatan padu, namun Mohamad Izwan sekali lagi bertindak cemerlang di gawang, sekali gus mengekalkan keputusan 2-1 sehingga wisel penamat.
Ini adalah perlawanan persahabatan pertama daripada dua perlawanan sebelum dua perlawanan serentak menentang India dalam pusingan kelayakan ketiga Piala Asia pada bulan depan.
Pasukan Singa akan menentang Myanmar dalam perlawanan persahabatan pada 9 September.
Mereka kemudian akan melawan India di Stadium Negara pada 9 Oktober sebelum beraksi di padang lawan lima hari kemudian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.