Skip to main content

Sukan

Malaysia hampir 80 peratus bersedia anjur Sukan SEA 2027

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia hampir 80 peratus bersedia anjur Sukan SEA 2027

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 24 Mar 2026 02:52PM Dikemas Kini : 24 Mar 2026 02:56PM
PUTRAJAYA: Malaysia kian bersedia menjadi hos Sukan SEA buat kali ketujuh melibatkan empat kluster utama di Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur bagi edisi 2027.

Menuju kurang daripada 600 hari edisi ke-34 sebelum Sukan SEA dijadual dibuka secara rasmi pada 18 September 2027, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata tahap kesiapsiagaan negara menganjurkan temasya sukan dwitahunan yang bakal menawarkan 38 jenis sukan itu, sudah mencapai hampir 80 peratus.

“Sekarang kita sudah hampir ke arah itu. Dari segi atlet, saya rasa atlet semakin bersedia dan dari segi kemudahan dan sebagainya, mungkin 70 ke 80 peratus.

“Perbincangan mengenai penetapan jumlah sukan pula sudah mencapai tahap 90 peratus cuma ada sedikit proses rayuan sukan dan sebagainya untuk kita mengenal pasti sukan-sukan yang kita boleh anjurkan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama yang diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj di pejabat menteri Putrajaya, baru-baru ini. 

Sarawak akan menjadi kluster utama dan lokasi upacara pembukaan Sukan SEA 2027, dengan 17 sukan dipertandingkan, iaitu akuatik, angkat berat, bola keranjang, boling, boling padang, e-sukan, gimnastik, golf, kriket, memanah, menembak, Muay Thai, petanque, skuasy, taekwondo, tenis dan wusyu.

Kluster Pulau Pinang pula melibatkan enam sukan, iaitu sepak takraw, snuker dan biliard, judo, tinju, pingpong atau tenis meja dan 'floorball', manakala kluster Johor hanya melibatkan satu acara, iaitu bola sepak.

Kluster Kuala Lumpur akan menjadi lokasi upacara penutup dengan 14 sukan dipertandingkan, iaitu badminton, berbasikal (Velodrom Nasional, Nilai), bola tampar, bola jaring, ekuestrian, hoki, karate, lawan pedang, luncur ais, olahraga, pencak silat, pelayaran (Langkawi), ragbi dan ski air.

Dalam pada itu, Dr Mohammed Taufiq berkata barisan atlet negara sudahpun menjalani fasa pertama persediaan menjelang Sukan SEA 2027 di Universiti Pendidikan Sultan Idris di Perak, baru-baru ini.

Beliau berkata fasa pertama persediaan itu melibatkan sesi bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Akademi Kenegaraan Malaysia.

Beliau berkata kedua-dua sesi itu penting bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam diri setiap atlet negara, sekali gus dapat meniup semangat perjuangan mereka untuk merangkul pingat sebanyak yang mungkin di laman sendiri kelak.

Sukan SEA 2027 dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 September.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita