Skip to main content

Sukan

Malaysia cadang bina litar perlumbaan drag di setiap negeri, kata PM Ismail Sabri

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA NERUS: Kerajaan Malaysia bercadang untuk membina sebuah litar khusus bagi perlumbaan drag di setiap negeri dalam usaha memperkasakan program pembangunan sukan permotoran dalam negara.

Perdana Menteri negara itu Ismail Sabri Yaakob berkata cadangan tersebut akan dimasukkan dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentang Oktober ini. 

"Setakat ini sudah ada dua litar drag yang dibina iaitu di Terengganu dan Melaka," katanya ketika merasmikan Program RXZ Members 4.0 Tahun 2022 di Terengganu International Drag Strip di Gong Badak di sini, pada Sabtu (13 Ogos).

Beliau berkata apabila litar itu siap, ia akan memberi peluang kepada golongan belia untuk membabitkan diri dengan lebih serius dalam sukan permotoran mengikut saluran yang betul.

Encik Ismail Sabri juga menyeru golongan muda supaya menyertai MyFit@Motorsports 2022 iaitu program pembangunan permotoran peringkat akar umbi, melibatkan pembangunan sukan motosikal dan kereta yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan.

Menurutnya di bawah program itu, peserta berpeluang mendapat pendidikan melalui latihan, kursus dan klinik, sekali gus dapat mencungkil bakat atlit permotoran negara bagi menyertai kejohanan serta perlumbaan di peringkat negeri dan nasional. 

Katanya kerajaan akan sentiasa menyokong aktiviti kelab-kelab permotoran, terutama dalam menjayakan program amal bagi membantu rakyat yang ditimpa kesusahan seperti dilanda banjir, bagi mengurangkan aktiviti tidak sihat di jalanan.

"Pertubuhan berkaitan permotoran banyak melakukan aktiviti amal... Ketika banjir banyak kelab motor terlibat dengan kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir.

"Mungkin boleh anjurkan (perhimpunan penunggang) setiap tahun dan kerajaan boleh beri penajaan… dapat ketengahkan minat anak-anak muda, dapat kurangkan tanggapan negatif terhadap penunggang yang dikaitkan dengan pelbagai nama seperti Mat Motor," katanya.

Perdana Menteri Malaysia itu turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terbabit dalam penganjuran program yang menerima lebih 30,000 kunjungan peminat sukan permotoran di seluruh negara.

Pada perhimpunan itu penganjur turut menawarkan hadiah utama cabutan bertuah iaitu sebuah motosikal Yamaha R1 1000cc bernilai RM135,000 (S$41,645) serta dua buah Yamaha RXZ bernilai RM60,000 (S$18,509).
Sumber : Bernama/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita