Majlis Olimpik Malaysia yakin Olimpik Tokyo berlangsung ikut jadual
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yakin temasya Sukan Olimpik Tokyo (Tokyo 2020) akan berlangsung mengikut jadual ditetapkan pada 23 Julai hingga 8 Ogos tahun ini, kata Presidennya Encik Mohamad Norza Zakaria.

(Gambar: Bernama)
KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yakin temasya Sukan Olimpik Tokyo (Tokyo 2020) akan berlangsung mengikut jadual ditetapkan pada 23 Julai hingga 8 Ogos tahun ini, kata Presidennya Encik Mohamad Norza Zakaria.
Beliau berkata pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kesediaan dan persiapan rapi yang dilakukan oleh kerajaan Jepun menerusi panggilan persidangan dengan rakan sejawatnya Yamashita Yasuhiro dan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) Thomas Bach, pada Jumaat (22 Jan).
Menerusi panggilan itu, Encik Mohamad Norza berkata beliau turut dimaklumkan bahawa rakan penganjur juga berusaha untuk memastikan penganjuran temasya itu selamat dan terjamin bukan sahaja kepada atlet dan pegawai tetapi juga kepada masyarakat setempat.
“Kami sentiasa bersama dengan IOC dan rakan sejawat kami dari Jepun dan berharap dapat turut serta dalam temasya itu,” katanya dalam kenyataan hari ini (23 Jan).
Encik Mohamad Norza berkata MOM juga sedang dalam perbincangan dengan IOC berhubung vaksinasi kontinjen negara ke Sukan Olimpik.
Beliau turut mengucapkan terima kasih atas kesediaan IOC menyokong penglibatan MOM dengan kerajaan Malaysia mengenai perkara berkenaan.
“Kami akan meneruskan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) dalam memastikan semua atlet dan pegawai dapat menumpukan perhatian kepada latihan serta persiapan dalam suasana yang selamat,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.