Maghribi kemuka bantahan kepada FIFA mutu pengadilan separuh akhir

(Gambar: Gabriel Bouys/AFP)
RABAT: Persekutuan Bola Sepak Diraja Maghribi (FRMF) mengemukakan bantahan kepada FIFA berhubung prestasi pengadil Mexico, Cesar Arturo Ramos Palazuelos, ketika perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2022 antara Maghribi dan Perancis pada Rabu (14 Dis).
FRMF menyatakan Palazuelos menafikan pasukan Maghribi dua tendangan penaliti yang ketara, sambil melahirkan rasa kecewa bahawa bilik Penolong Pengadil Video (VAR) gagal untuk memberitahunya.
Persekutuan tersebut menyatakan ia akan terus berusaha untuk mempertahankan hak pasukan kebangsaan Maghribi, menurutnya dalam satu kenyataan pada Khamis (15 Dis), seperti dilaporkan Xinhua.
FRMF juga menuntut keadilan dengan menggesa FIFA supaya mengambil langkah wajar terhadap corak pengadilan perlawanan semasa separuh akhir menentang Perancis.
Maghribi kalah 0- 2, sekali gus mengakhiri kempennya di kejohanan itu selepas menjadi negara pertama dari Afrika untuk mara ke kelompok empat terbaik di Piala Dunia.
FRMF tidak puas hati bahawa pengadil tersebut tidak memberikan penaliti pada separuh pertama apabila pemain pertahanan kiri Perancis, Theo Hernandez bertembung dengan penyerang Maghribi, Sofiane Boufal di dalam kawasan kotak penalti.
Pengadil Ramos memutuskan untuk berpihak kepada Perancis dan melayangkan Boufal kad kuning.
FRMF juga tidak puas hati bahawa pengadil dan VAR tidak mengambil tindakan, apabila Selim Amallah cedera.
Perancis akan berentap dengan Argentina pada perlawanan akhir Piala Dunia pada Ahad (18 Dis), manakala Maghribi pula berdepan dengan Croatia pada Sabtu (17 Dis) untuk menentukan tempat ketiga.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.