Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

M'sia intai peluang tumpaskan Vietnam dalam perlawanan Piala AFF Suzuki

Skuad Harimau Malaya kini bersedia untuk membuat kejutan dalam pertemuan dengan juara bertahan Vietnam pada perlawanan ketiga Kumpulan B Piala AFF Suzuki malam nanti (12 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia intai peluang tumpaskan Vietnam dalam perlawanan Piala AFF Suzuki

(Gambar: AFF Suzuki Cup/Facebook)

Diterbitkan : 12 Dec 2021 02:48PM Dikemas Kini : 12 Dec 2021 02:51PM

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya kini bersedia untuk membuat kejutan dalam pertemuan dengan juara bertahan Vietnam pada perlawanan ketiga Kumpulan B Piala AFF Suzuki malam nanti (12 Dis).

Ketua Jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe percaya, anak didiknya mempunyai keupayaan untuk membuahkan hasil positif ketika menentang Vietnam pada perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Bishan, Singapura.

“Sejak kebelakangan ini, kami tidak mempunyai keputusan yang baik bila berhadapan Vietnam… Tentu sekali mereka (Vietnam) mempunyai kekuatan dan pemain yang baik, tetapi apa yang penting kami mempunyai strategi dan perancangan untuk berhadapan Vietnam.

“Ia sentiasa sukar untuk menjaringkan gol ketika bertemu mereka, tetapi kami perlu mencari cara untuk mendapatkan keputusan yang positif dan diharapkan anak buah saya akan dapat membuat kejutan kali ini,” katanya dalam satu sidang media maya pada Sabtu (11 Dis).

Walaupun mengumpulkan enam mata selepas dua perlawanan, Cheng Hoe mengambarkan perlawanan berhadapan ‘Naga Emas’ itu akan menjadi ujian sebenar untuk pasukannya dalam kejohanan tersebut kerana Vietnam mempunyai pemain yang terbaik dari segi keupayaan taktikal dan teknikal.

Oleh sebab itu, beliau menggesa anak buahnya supaya memperbaiki permainan pada waktu perubahan antara serangan dan bertahan, selain pantas menyesuaikan diri sewaktu permainan, terutamanya pada awal 10-15 minit permainan yang mereka kelihatan bergelut pada dua perlawanan sebelum ini, jika mereka inginkan keputusan yang baik malam nanti (12 Dis).

Jurulatih berusia 53 tahun itu juga berkata, adalah penting untuk Malaysia tidak dibolosi gol akibat kesilapan individu semasa bertemu Vietnam dan mengharapkan pasukannya meningkatkan lagi tahap pertahanan mereka.

“10-15 minit pertama sering berikan masalah kepada kami dan saya berharap pemain akan bekerja keras setiap masa untuk memperbaiki lagi pasukan, nikmati permainan dan meningkatkan lagi skil individu dan sekali gus memberikan keyakinan kepada pasukan,” katanya.

Malaysia memulakan kempen mereka dengan menang bergaya 3-1 ke atas Kemboja pada Isnin sebelum membenam Laos 4-0 pada Khamis.

Berkaitan komen Jurulatih Vietnam Park Hang-Seo yang menganggap tidak adil untuk Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) membenarkan Malaysia membawa pemain baru, Cheng Hoe dengan tenang berkata bahawa semua pihak perlu fleksibel disebabkan isu COVID-19, yang membenarkan mereka untuk menukar penjaga gawang.

Selasa lepas AFF bersetuju untuk membenarkan Harimau Malaya menukar penjaga gawang mereka bagi Piala AFF Suzuki 2020 yang sedang berlangsung itu berikutan penjaga gol Muhammad Khairulazhan Mohd Khalid diuji positif COVID-19 selepas menjalani ujian saringan tindak balas rantaian polimerase (PCR) di Lapangan Terbang Changi pada 3 Dis.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa Junior Eldstal yang cedera ketika perlawanan bertemu Kemboja, tidak akan dapat beraksi untuk perlawanan hari ini. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan