Skip to main content

Sukan

M'sia benam Kemboja 3-1 dalam perlawanan pertama Kumpulan B Piala AFF Suzuki 2020

Malaysia menepati ramalan semasa menewaskan Kemboja 3-1 pada aksi perlawanan pembukaan Kumpulan B bagi Piala AFF 2020 di Stadium Bishan semalam (6 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia benam Kemboja 3-1 dalam perlawanan pertama Kumpulan B Piala AFF Suzuki 2020

(Gambar: AFF)

Diterbitkan : 07 Dec 2021 09:45AM Dikemas Kini : 07 Dec 2021 10:38AM

SINGAPURA: Malaysia menepati ramalan semasa menewaskan Kemboja 3-1 pada aksi perlawanan pembukaan Kumpulan B bagi Piala AFF 2020 di Stadium Bishan semalam (6 Dis).

Skuad Harimau Malaya beraksi cemerlang untuk menguasai perlawanan bagi meraih tiga mata berharga, walaupun menghadapi serangan balas yang mencemaskan dari Kemboja.

Malaysia, yang menduduki ranking ke-154 dunia, terlebih dahulu melakukan percubaan melalui tandukan Syafiq Ahmad seawal minit kedua, hasil tendangan percuma Safawi Rasid, sedikit tersasar ke atas palang gol.

Pemain sayap Malaysia, Safawi kemudian melakukan rembatan kencang dari jarak lebih kurang 18 meter tepat ke penjuru kanan gawang, namun penjaga gawang Keo Soksela tangkas menyelamatkan percubaan itu pada minit ketujuh.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe bagaimanapun, berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-23 menerusi tendangan penalti kaki kiri Safawi ke bahagian kanan gawang, yang memperdayakan Keo ke arah bertentangan.

Malaysia dihadiahkan tendangan penalti oleh pengadil Shukri Hussain Alhunfush, apabila Ken Chansopheak mengasari Muhammad Akhyar Abdul Rashid di dalam petak penalti, yang turut menyebabkan tunggak pertahanan skuad ‘Angkor Warriors’ itu dilayangkan kad kuning.

Kemboja, di bawah kendalian bekas pemain Jepun Ryu Hirose, mencari gol penyamaan menerusi serangan bertali arus, namun barisan pertahanan Malaysia, terutamanya penjaga gol veteran Khairul Fahmi Che Mat bertindak cemerlang untuk mematahkan kesemua serangan pasukan lawan untuk kekal mendahului sehingga tamat babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Malaysia berjaya melebarkan jurang menerusi Muhammad Akhyar, yang menerima hantaran jauh daripada Syafiq dan memperdayakan dua pemain pertahanan Kemboja, sebelum merembat masuk bola ke dalam gawang pada minit ke-60.

Anak-anak buah Cheng Hoe, terus menambah derita Kemboja, apabila pemain gantian M. Kogileswaran Raj menerpa hantaran silang Luqman Hakim Shamsudin pada minit ke-79.

Skuad ‘Angkor Warriors’ yang menghuni ranking ke-170 dunia, mempamerkan kebangkitan menerusi jaringan tendangan penalti Sath Rosib pada minit ke-90.

Awal dari itu, Khairul Fahmi dipersalahkan dan dilayangkan kad kuning kerana menendang Sath ketika menangkap bola hantaran tinggi di dalam petak penalti.

Kemenangan itu sekali gus membantu Malaysia, juara edisi 2010 mengekalkan rekod tanpa kalah terhadap Kemboja dalam persaingan Piala AFF selepas mencatatkan kemenangan dalam kesemua tiga aksi persaingan itu sejak 2000.

Selain menjadi tonik buat skuad Harimau Malaya yang terpaksa turun padang tanpa khidmat penjaga gol Khairulazhan Khalid dan pemain tengah Faisal Halim, yang dikuarantin kerana positif COVID-19 pada Jumaat lalu, kemenangan itu juga memastikan Malaysia tidak keciciran mata sebelum dua aksi terakhir yang sukar.

Skuad Harimau Malaya selepas ini dijadual bertemu Laos pada 9 Dis sebelum berdepan Vietnam (12 Dis) dan Indonesia pada aksi terakhir 19 Dis ini, dengan hanya dua pasukan teratas kumpulan akan mara ke separuh akhir.

Sementara itu, satu lagi perlawanan Kumpulan B menyaksikan juara bertahan, Vietnam memulakan usaha mempertahankan kejuaraan dengan kemenangan 2-0 ke atas Laos.

Penyerang Nguyen Cong Phuong meletakkan Vietnam di hadapan menerusi jaringan pada minit ke-26, sebelum pemain sayap, Phan Van Duc menggandakan kelebihan gol menerusi tandukan tajam pada minit ke-55.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia kini menduduki tangga teratas kumpulan, mengatasi Vietnam menerusi kelebihan gol.

Piala Suzuki AFF 2020 akan berlangsung sehingga 1 Januari tahun depan.

Ikuti perlawanan Piala AFF Suzuki 2020 secara langsung di MeWatch. Daftar sekarang di pautan ini: https://bit.ly/3oqq9dMlaman agar tidak terlepas menonton perlawanan-perlawanan Piala AFF Suzuki 2020 bersama Mediacorp, penyiar rasminya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita